Friday, 29, March, 2024
Utama Negeri Tahan bos kelas C kru warga asing, langgar syarat lesen

Tahan bos kelas C kru warga asing, langgar syarat lesen

oleh Ammar Haziq
Keempat-empat nelayan bersama bot dan hasil tangkapan seberat satu tan dibawa ke jeti Maritim Kuala Kedah untuk tindakan lanjut.

TAHAN BOT KELAS C KRU WARGA ASING, LANGGAR SYARAT LESEN

ALOR SETAR, 24 Jun – Sebuah bot pukat tunda nelayan tempatan Kelas C bersama empat nelayan warga Thailand ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Kuala Kedah dalam satu rondaan operasi Op Aman di posisi sekitar 8.5 batu nautika barat Kuala Sala, Yan pada jam 9.00 malam, 22 Jun lepas.

Pengarah Zon Maritim Kuala Kedah, Komander Maritim Noor Azreyanti Ishak berkata, bot nelayan terbabit ditahan ketika sedang bergerak dalam keadaan bergelap semasa bot ronda Maritim Malaysia melakukan rondaan berkala di sekitar perairan Yan.

Ketika pemeriksaan dilakukan ke atas bot kelas C bernombor pendaftaran KF 2465 itu, anggota mendapati semua kru dan tekong memiliki dokumen pengenalan diri serta permit yang sah, namun mereka didapati telah melakukan kesalahan di bawah seksyen 8 (b) Akta Perikanan 1985 iaitu saiz mata pukat di bahagian keroncong kurang daripada 38 milimeter.

Justeru itu, keempat-empat nelayan ditahan dan bot bersama hasil tangkapan dianggarkan sebanyak satu tan dibawa ke Jeti Zon Maritim Kuala Kedah untuk tindakan lanjut.

Bagi kesalahan di bawah Seksyen 8 (b) Akta Perikanan 1985 pemilik bot akan didakwa di mahkamah atas kesalahan menggunakan mata pukat tidak mengikuti spesifikasi atau peralatan yang tidak dibenarkan dan jika disabitkan kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM20 ribu atau penjara tidak lebih dua tahun atau kedua-duanya sekali.

Pengusaha bot nelayan diingatkan supaya mematuhi undang-undang dan tidak melanggar syarat lesen perikanan yang telah diperuntukan.

Maritim Malaysia tidak akan berkompromi terhadap sebarang aktiviti yang melanggar undang-undang di perairan negara.

Pihak Maritim Malaysia Zon Maritim Kuala Kedah mengalu-alukan aduan dan sebarang aktiviti jenayah atau kecemasan di laut boleh disalurkan melalui talian kecemasan 24 jam MERS 999 atau Pusat Operasi Maritim Malaysia Zon Maritim Kuala Kedah di talian 04-7310579.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com