Friday, 29, March, 2024
Utama Negeri Seludup 300 liter diesel dalam tangki ubahsuai

Seludup 300 liter diesel dalam tangki ubahsuai

oleh Ammar Haziq
Penguat kuasa KPDHEP menunjukkan tangki yang berada di dalam sebuah lori yang menyedut masuk minyak diesel dari tangki minyak kenderaan tersebut.

SUNGAI PETANI, KHAMIS 23 JUN 2022 – Pejabat Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Cawangan Sungai Petani, Kedah telah berjaya menumpaskan aktiviti penyelewengan bahanapi bersubsidi diesel dalam satu (1) serbuan yang dilakukan pada hari ini iaitu kira-kira jam 9.15 pagi di sebuah stesen minyak di Bedong, Kedah. 

Pemeriksaan yang dilakukan ke atas sebuah lori yang diparkir di stesen selepas mengisi minyak di stesen tersebut telah mendapati terdapat tangki tambahan yang diletakkan dalam badan lori. Minyak yang diisi ke dalam tangki kenderaan telah disedut naik dengan menggunakan pam ke dalam tangki tambahan.

Lori tersebut telah disita bersama 300 liter minyak diesel yang telah diisi ke dalam tangki tambahan tersebut. Minyak yang dirampas dianggarkan bernilai RM 645.00 manakala motolori tersebut dianggarkan bernilai RM 30,645.00. Pemandu lori seorang lelaki berumur 20 tahun telah ditahan untuk siasatan lanjut.

Kes yang dihasilkan pada hari ini adalah hasil daripada Operasi Membanteras Penyelewengan dan Penyeludupan Barang Kawalan di negeri ini. Hasil operasi yang telah dijalankan hari ini, satu tindakan kes di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 telah dihasilkan yang mana satu kesalahan telah disyaki telah dilakukan iaitu menyimpan barangan kawalan berjadual (bahan api diesel) tanpa kebenaran Pengawal Bekalan. 

Pejabat ini merasa kesal di atas tindakan tidak bertanggungjawab oleh pihak yang telah melakukan kesalahan menyeleweng minyak yang bersubsidi. KPDNHEP juga ingin memberikan amaran keras terhadap mana-mana pengusaha stesen minyak khususnya di negeri ini agar mematuhi perundangan yang dikuatkuasakan oleh kementerian dan tidak sesekali bersekongkol dengan pihak yang berniat untuk melakukan kesalahan. 

Siasatan dijalankan dibawah Akta Kawalan Bekalan 1961. Sekiranya disabitkan dengan kesalahan di bawah Akta ini boleh dikenakan penalti seperti berikut:

1.Bagi bukan suatu pertubuhan perbadanan (Mana-mana orang perseorangan); didenda tidak melebihi RM1 juta (satu juta ringgit) atau penjara tidak melebihi tiga (3) tahun atau kedua-duanya sekali. Bagi kesalahan yang kedua, didenda tidak melebihi RM3 Juta (tiga juta ringgit) atau penjara tidak melebihi lima (5) tahun atau kedua-duanya sekali.

2.Bagi pertubuhan perbadanan, didenda tidak melebihi RM2 juta (dua juta ringgit) dan bagi kesalahan yang kedua didenda tidak melebihi RM5 juta (lima juta ringgit). 

AFFENDI RAJINI KANTH

Pengarah, Pejabat Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna,  Negeri Kedah.

 

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com