Wednesday, 24, April, 2024
Utama Nasional OP Moon: Tahan tujuh PATI, cekup dalang dan ejen darat

OP Moon: Tahan tujuh PATI, cekup dalang dan ejen darat

oleh Ammar Haziq
Tujuh PATI yang ditahan Maritim Malaysia. FOTO MARITIM MALAYSIA

LANGKAWI – Agensi Penguatkuasaan Martim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Kedah dan Perlis telah menahan tujuh Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) dan seorang warga tempatan disyaki ejen darat di Pulau Langkawi, kelmarin.

Pengarah Maritim Negeri Kedah dan Perlis, Laksamana Pertama Maritim Romli bin Mustafa berkata, kejayaan tangkapan melalui operasi khas Op Moon adalah hasil kerjasama dengan Jabatan Laut Malaysia (JLM) Langkawi dalam membanteras aktiviti penyeludupan orang dan pemerdagangan manusia di Langkawi, termasuk jenayah rentas sempadan.

Serbuan dan tangkapan dibuat berikutan intipan maklumat dan risikan yang bermula 18 Jun mengenai pergerakan serta aktiviti penyeludupan PATI yang diuruskan warga tempatan di Pulau Langkawi.

Tujuh PATI ini telah dihantar oleh ejen darat menaiki feri penumpang di Jeti Kuah Langkawi sekitar jam 4.30 petang, menuju Kuala Kedah.

Berikutan itu, lebih kurang jam 4.40 petang, pasukan operasi bot PERKASA 1228 Maritim Malaysia telah memintas dan memberhentikan feri tersebut di kedudukan sekitar 0.4 batu nautika timur laut Pulau Dayang Bunting untuk pemeriksaan.

Pemeriksaan ke atas penumpang feri Marine Star II, mendapati tujuh lelaki warga asing disyaki PATI warga Myanmar tidak memiliki dokumen pengenalan diri yang sah berada di atas feri berkenaan.

Siasatan awal mendapati, mereka dihantar oleh seorang lelaki warga tempatan disyaki ejen darat.

Tujuh PATI itu ditahan dan dipindahkan ke bot PERKASA 1228 untuk diserahkan kepada Pegawai Penyiasat Maritim Malaysia di Bukit Malut, Langkawi.

Hasil koordinasi maklumat tangkapan di laut, pasukan operasi darat berjaya mengesan seorang suspek disyaki ejen darat memandu kereta jenis Toyota Avanza sedang bergerak keluar daripada kawasan Terminal Feri Kuah, Langkawi dan terus ditahan untuk siasatan.

Susulan tangkapan PATI dan ejen darat berkenaan, seorang lagi lelaki warga tempatan disyaki dalang utama aktiviti penyeludupan migran turut ditahan Maritim Malaysia sekitar jam 1.30 petang, berikutan cubaan memberi suapan kepada pegawai Maritim Malaysia sebagai imbuhan bagi melepaskan lapan suspek yang ditahan pada Selasa, 21 Jun .

Suspek berusia 26 tahun itu, ditahan untuk siasatan lanjut hasil kerjasama bersama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Kesemua tahanan akan disiasat di bawah Akta Imigresen 1959/1963 dan Akta AntiPemerdagangan Manusia dan Anti Penyeludupan Migran 2007 (ATIPSOM).

Maritim Malaysia akan meneruskan sisasatan bagi mengesan dan menangkap individu yang terlibat khasnya tekong-tekong darat yang disyaki bersekongkol dengan tekong laut untuk menyeludup PATI masuk ke negara ini, sama ada di kalangan warga asing, pemegang kad UNCHR dan juga rakyat tempatan yang dipercayai telah mengaut keuntungan ribuan ringgit menerusi aktiviti penyeludupan migran dan pendatang tanpa izin (PATI) memasuki ke negara ini bagi tujuan tenaga kerja warga asing secara haram.

Justeru, orang ramai dan komuniti maritim khususnya dimohon agar dapat bekerjasama dalam menyalurkan laporan berkenaan aktiviti jenayah di laut menerusi panggilan terus ke Pusat Operasi Maritim Negeri Kedah dan Perlis yang beroperasi 24 jam sehari di nombor talian 04-9662750 atau MERS 999.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com