Friday, 19, April, 2024
Utama Nasional Upah RM200 seludup 1.3 tan daun ketum

Upah RM200 seludup 1.3 tan daun ketum

oleh Ammar Haziq
Tiga lelaki warga tempatan berumur lingkungan 33 hingga 39 tahun disyaki suspek berada di atas bot berkenaan. FOTO MARITIM

KUALA KEDAH, 17 Jun – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Kuala Kedah berjaya menggagalkan cubaan menyeludup keluar lebih kurang 1.3 tan daun ketum dan menahan tiga lelaki warga tempatan di kedudukan 1.0 batu nautika barat muara Kuala Kedah pada jam 2.30 pagi semalam.

Pengarah Zon Maritim Kuala Kedah, Komander Maritim Noor Azreyanti binti Ishak berkata, tangkapan dibuat berikutan maklumat risikan berkaitan sebuah bot nelayan tempatan kelas A dengan nombor pendaftaran KHF 2081 yang disyaki menjalankan aktiviti penyeludupan sedang bergerak menuju keluar muara Kuala Kedah.

Berikutan itu, bot ronda Maritim Malaysia diatur gerak ke lokasi untuk melakukan serbuan dan bot terbabit berjaya dikesan pada jam 2.20 pagi sedang bergerak dalam keadaan bergelap.

Sebaik menyedari kehadiran pihak berkuasa, suspek cuba melarikan diri dengan bertindak memecut bot namun berjaya dipintas oleh bot ronda Maritim Malaysia.

Pemeriksaan mendapati, tiga lelaki warga tempatan berumur lingkungan 33 hingga 39 tahun berada di atas bot berkenaan.

Semua suspek ditahan bersama 130 bungkusan plastik berwarna hitam disyaki daun ketum di atas bot berkenaan dengan berat dianggarkan lebih kurang 1.3 tan.

Barang rampasan dibawa ke jeti Zon Maritim Kuala Kedah untuk diserahkan kepada Pegawai Penyiasat bagi tindakan lanjut. FOTO MARITIM

Siasatan awal mendapati, tiga suspek lelaki warga tempatan itu berasal dari kawasan berdekatan dan telah menerima upah sebanyak RM200 seorang bagi satu perjalanan penghantaran.

Daun ketum terbabit dipercayai cuba diseludup keluar ke negara jiran melalui jalan laut berikutan daun ketum telah dikeluarkan dari senarai dadah berbahaya di negara jiran dan mendapat permintaan serta harga jualan yang lebih tinggi berbanding di dalam negara yang hanya dijual RM30 sekilo.

Tiga suspek ditahan dan kesemua bungkusan plastik hitam disyaki daun ketum yang dianggarkan bernilai RM234 ribu serta sebuah bot nelayan tempatan kelas A beserta enjin dianggarkan bernilai RM70 ribu dirampas dan seterusnya dibawa ke jeti Zon Maritim Kuala Kedah untuk diserahkan kepada Pegawai Penyiasat bagi tindakan lanjut.

Kes akan disiasat di bawah Seksyen 30(3) Akta Racun 1952 kerana penyalahgunaan ketum termasuk mengimport, menjual, memproses dan lain-lain berkaitan bahan tersebut. Jika disabit kesalahan boleh dikenakan hukuman denda tidak lebih daripada RM10 ribu atau penjara tidak lebih empat tahun atau kedua-duanya.

Kes ini merupakan tangkapan kedua melibatkan warga tempatan dan rampasan keenam bagi Zon Maritim Kuala Kedah setakat ini.

Walaupun telah banyak rampasan dilakukan sebelum ini namun aktiviti ini dilihat terus aktif dilakukan oleh penyeludup bagi mengambil jalan mudah untuk menjana pendapatan lumayan yang mencecah ribuan ringgit.

Maritim Malaysia memandang serius akan jenayah ini akan terus memperhebatkan operasi dan pemantauan di sempadan serta perairan negara dari semasa ke semasa bagi membendung aktiviti penyeludupan, pencerobohan dan jenayah maritim yang berlaku di perairan Utara Semenanjung Malaysia.

Pihak Maritim Malaysia, Zon Maritim Kuala Kedah mengalu-alukan aduan mengenai sebarang aktiviti jenayah atau kecemasan di laut dan boleh disalurkan melalui talian kecemasan 24 jam MERS 999 atau Pusat Operasi Maritim Malaysia Zon Maritim Kuala Kedah di talian 04-7310579.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com