Tuesday, 19, March, 2024
Utama Nasional Felcra peruntuk RM4.6 juta laksana CSR pada tahun ini

Felcra peruntuk RM4.6 juta laksana CSR pada tahun ini

oleh Ammar Haziq
Mahdzir (dua kanan) menyampaikan sumbangan kepada Maahad Tahfiz Aminul Hawa.

PADANG TERAP, 9 April – FELCRA Berhad memperuntukkan sejumlah RM4.3 juta daripada keuntungan tahunan syarikat untuk melaksanakan Program Tanggungjawab Sosial Korporat, CSR.

Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, program CSR itu memberi manfaat kepada lebih 107 ribu peserta FELCRA di seluruh negara.

“Untuk tahun 2022, pelaksanaan program FELCRA termasuklah pembangunan ameniti sosial, aktiviti desa, pembangunan usahawan, pembangunan institusi peserta, aktiviti latihan dan kemahiran serta pembangunan wanita dan modal insan.”

Beliau berkata demikian pada sidang media Majlis Iftar Warga FELCRA Padang Terap di sini petang semalam.

Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan FELCRA Berhad, Datuk Mat Roni Zakaria.

Jelas Mahdzir, selain program CSR, FELCRA turut menitikberatkan tiga teras utama iaitu Memperkasa Keyakinan, Kesejahteraan dan Ekonomi pesertanya.

“Apa yang FELCRA buat daripada keuntungannya ialah menyalurkan semula keuntungan boleh agih yang diberi balik kepada pesertanya.

Selain keuntungan boleh agih kepada peserta, FELCRA juga memperuntukkan kewangan untuk membiayai peniaga-peniaga atau orang yang hendak libatkan diri dalam perniagaan yang dipanggil ekonomi usahawan FELCRA.”

FELCRA kata Mahdzir, melaksanakan program tanggungjawab sosialnya sejak mula dikorporatkan pada 1 September 1997.

“Kita amat menyakini kemampuan FELCRA dalam mengimbangi antara kepentingan korporat dan tanggungjawab terhadap para peserta dibawahnya.”

Mahdzir sebelum itu menyampaikan sumbangan FELCRA Prihatin kepada enam buah masjid, surau dan Pusat Tahfiz serta Bantuan Bakul Makanan kepada 610 peserta FELCRA Padang Terap.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com