Saturday, 27, April, 2024
Utama Nasional Subjek utama UUM melonjak dalam QSWUR by Subject 2022

Subjek utama UUM melonjak dalam QSWUR by Subject 2022

oleh Ammar Haziq
Naib Canselor UUM Prof. Dr. Haim Hilman Abdullah.

Sintok: Universiti Utara Malaysia (UUM) terus mempamerkan kecemerlangan di persada antarabangsa apabila tiga subjek utama dan bidang Social Sciences and Management melonjak kedudukan dalam QS World University Rankings (QSWUR) by Subject 2022 yang diumumkan jam 5 petang tadi waktu tempatan.

Tiga subjek tersebut ialah Accounting and Finance dari kedudukan 201-250 ke 151-200; Economics and Econometrics dari 301-350 ke 201-250 dan Computer Science and Information System dari 601-650 ke 551-600, manakala bidang Social Sciences and Management juga turut meningkat dari 340 ke 251.

Subjek Business and Management Studies pula kekal di kedudukan 201-250 seperti tahun sebelumnya.

Naib Canselor, Prof. Dr. Haim Hilman Abdullah berkata, beliau bersyukur ke hadrat-Nya kerana UUM terus menunjukkan prestasi cemerlang dengan peningkatan kedudukan dalam QS World University Rankings dari setahun ke setahun.

Menurutnya, daripada empat subjek itu, 75 peratus menunjukkan peningkatan dalam kedudukan dan tiada subjek yang merosot dari ranking tersebut.

Katanya, inilah pencapaian terbaik universiti dan agenda bersama seluruh warga kampus untuk melonjakkan universiti sudah sampai ke tahap yang membanggakan.

“Terima kasih dan tahniah saya ucapkan kepada semua yang telah menyumbang kepada kejayaan yang cukup besar ini. Apa yang kita kecapi hari ini bukan kejayaan individu sebaliknya kejayaan bersama hasil sumbangan ahli akademik dan pentadbiran.

“Penghargaan ini juga adalah untuk Othman Yeop Abdullah Graduate School of Business (OYAGSB), Pusat Pengajian Perniagaan Islam (IBS), Pusat Pengajian Antarabangsa (SOIS), Pusat Pengajian Teknologi Multimedia dan Komunikasi (SMMTC), Pusat Pengajian Perakaunan Tunku Puteri Intan Safinaz (TISSA-UUM) serta semua yang telah memberi sumbangan dan khidmat bakti,” katanya.

Prof. Dr. Haim Hilman berkata, beliau yakin dan percaya warga universiti akan terus bekerja kuat dan terus mengorak langkah demi melakar kejayaan. Mudah-mudahan segala yang dicita-citakan akan menjadi satu kebanggaan, seterusnya melonjak UUM lebih tinggi pada masa hadapan.

Dalam kenyataan QSWUR, prestasi terbaik UUM didorong oleh subjek Accounting and Finance bagi indikator Reputasi Akademik, Reputasi Majikan dan Sitasi, manakala Business and Management Studies bagi H-Index.

Sebanyak 51 subjek disenaraikan dan dikelompokkan dalam lima bidang utama iaitu Art and Humanities; Life Science and Medicine; Natural Science; Social Science and Management serta Engineering and Technology dalam edisi terbaru QSWUR by Subject 2022 ini.

Sebanyak 1,543 institusi dari 88 negara di seluruh dunia berjaya menduduki ranking secara keseluruhannya.

Keputusan penuh boleh layari https://www.topuniversities.com/subject-rankings/2022

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com