Friday, 19, April, 2024
Utama Nasional Tawar jual komputer riba ansuran tanpa ‘interest’

Tawar jual komputer riba ansuran tanpa ‘interest’

oleh Ammar Haziq
Usaha yang digerakkan oleh Muhammad Azlan mendapat reaksi positif daripada masyarakat.

Jutawan hartanah, Muhammad Azlan Al Amin tampil menawarkan jualan komputer riba yang dibayar secara ansuran tanpa ‘interest’ kepada pelajar bagi membantu golongan tersebut untuk belajar dengan sempurna. 


Menurutnya, hasrat untuk membantu pelajar mendapatkan komputer riba telah lama difikirkan dan perkara itu perlu direalisasikan selepas melihat timbul Isu membabitkan masalah tersebut yang tular pada Rabu lalu.


“Kita sasar untuk menjual 10,000 komputer riba dengan kaedah dibayar secara ansuran demi membantu memastikan pelajar dapat belajar dengan baik.


“Usaha ini dijangka bermula pada Jun kerana dua bulan awal iaitu April dan Mei diperlukan untuk membentuk pasukan pengurusan dan kakitangan mahir bagi menguruskan dan menyediakan kaedah terbaik dalam menguruskan ansuran bulanan,” katanya kepada Kedah Gazette.

Muhammad Azlan mahu membantu pelajar ataupun pihak dari B40 untuk membeli komputer riba secara ansuran tanpa faedah.


Pada Rabu lalu, tular satu video di media memaparkan seorang pensyarah kontrak sebuah universiti memperlekehkan seorang pelajar B40 yang tidak mempunyai komputer riba dipercayai berlaku ketika sesi kelas dalam talian.


Muhammad Azlan berkata, beliau mengakui risiko yang bakal dihadapi oleh pihaknya jika ada pelajar yang tidak mampu atau tidak membayarnya namun pasti ada kaedah yang boleh dilakukan untuk mengatasinya.


“Saya berpandangan maksud teguran profesor itu betul kerana jika tiada laptop sukar untuk belajar tapi cara menegurnya kurang sesuai.


“Tapi kita kena fikirkan cara untuk atasi masalah dan bukannya melihat kepada masalah semata-mata. Kita kena fikir solusi bukan bertelagah tentang isu sehingga lupa untuk membantu pelajar bagaimana mendapat laptop,” ujarnya.


Tambahnya, usaha tersebut buoan bertujuan kepada perniagaan dan juga keuntungan tetapi kaedah ini dilihat mampu membantu lebih ramai pelajar memiliki komputer riba.


“Mereka yang mahu membeli laptop ini bukan sahaja dibuka kepada pelajar sahaja tetapi individu lain juga boleh membeli daripada syarikat kita,” katanya lagi. – KG 

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com