Tuesday, 19, March, 2024
Utama Nasional Lima individu berdepan saman fitnah RM10 juta daripada jutawan hartanah

Lima individu berdepan saman fitnah RM10 juta daripada jutawan hartanah

oleh Ammar Haziq
Muhammad Azlan (duduk dua kiri) pada sidang media di pejabat Tetuan Hafarizam Wan & Aisha Mubarak di ibu negara pada hari ini.

Peneraju Azlan Al-Amin Group Holdings Sdn Bhd mengambil tindakan menyaman fitnah sebanyak RM10 juta kepada lima individu yang didakwa memfitnahnya di laman Facebook.

Jutawan hartanah, Muhammad Azlan Al-Amin menjelaskan tuntutan tersebut dilakukan selepas perniagaannya terjejas termasuk reputasinya yang turut tercemar.

Menurutnya, tuntutan saman fitnah itu telah difailkan pada 28 Mac lalu melalui Tetuan Hafarizam Wan & Aisha Mubarak (HWAM) bagi membersihkan namanya.

“Kenyataan fitnah yang dilemparkan oleh individu-individu terbabit menyebabkan ada rakan perniagaan membuat pertimbangan untuk menghentikan urusan perniagaan dengan saya. 

“Saya cuba menyelesaikan perkara ini dengan menghubungi mereka namun tiada kerjasama diberikan. Saya cuba memberi ruang kepada mereka.

“Namun nampaknya kenyataan-kenyataan mereka di Facebook berterusan dan menyaksikan wajar tindakan saman ini diambil,” katanya pada sidang media di pejabat Tetuan Hafarizam Wan & Aisha Mubarak di ibu negara pada hari ini.

Jelas Muhammad Azlan, beliau tidak mengetahui motif pihak berkaitan berbuat demikian namun mengakui pihaknya mengalami kerugian akibat tindakan tersebut namun tidak mendedahkan jumlah kerugian yang dialami.

Sementara itu, Peguam Datuk Wan Azmir Wan Majid pula berkata, writ saman telah dihantar kepada peguamcara defendan pada Khamis dan akan menunggu apa tindakan seterusnya daripada mereka.

Menurutnya, tuntutan saman yang diambil oleh anak guamnya bertujuan untuk membersihkan nama dan reputasi perniagaannya. – KG

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com