Friday, 29, March, 2024
Utama Nasional Kerja kebajikan, jutawan selesa di belakang tadbir

Kerja kebajikan, jutawan selesa di belakang tadbir

oleh Ammar Haziq
Muhammad Azlan mahu mengimbangi di antara keperluan dunia dan akhirat.

Jutawan hartanah, Muhammad Azlan Al-Amin mendedahkan punca beliau tidak memaparkan kerja-kerja kebajikan selama ini di media sosial kerana harus “meragui” keikhlasan  diri sendiri.

Beliau memohon maaf kerana berbuat demikian selain sumbangan yang dilakukan tidak terikat dengan mana-mana pihak mahupun Badan Bukan Kerajaan (NGO).

Menurutnya, beliau juga bimbang akan menerima pujian berlebihan dan semahunya mengelakkan perkara tersebut daripada terus berlaku.

“Maafkan saya kerana jarang mendedahkan kerja kebajikan saya di media sosial.Pasti ada sebab tersendiri,dan paling utama adalah tentang soal hati. Sejujurnya,saya harus “meragui” keikhlasan  diri sendiri.

“Jika saya masih tidak kuat menahan marah bila dikeji,bermaksud saya belum benar benar kuat untuk menahan riak saat dipuji. Pujian tidak salah,yang salah bila bagaimana cara saya menanggapinya. Pujian boleh menjadi baja jika ditabur secukupnya,tapi pujian bisa jadi racun jika berlebihan,” katanya yang dipetik melalui Facebook rasminya.

Jelasnya, prinsip hidupnya adalah,mahukan segala kerja buat dan urusan seharian berkaitan kebajikan termasuk perniagaan yang diusahakan.

“Luahan saya semata mata,tidak kena mengena dengan orang lain.InsyaAllah,orang lain lebih kuat dan lebih hebat daripada saya.

“Memandangkan hampir segala kerja buat kebajikan saya adalah dari poket saya sendiri tanpa wang derma atau sumbangan daripada mana mana pihak,jadi saya fikir tiada keperluan untuk didedahkan mahupun dipaparkan.

“Ini berbeza dengan mana mana NGO atau individu yang jika mereka menerima sumbangan daripada orang ramai,memang ada keperluan untuk mereka mendedahkan kerja amal demi mengelakkan persepsi atau wasangka para penyumbang bagi memastikan sumbangan orang ramai sampai kepada sasaran,” ujarnya.

Azlan Al Amin Group mensasarkan jualan secara ansuran sebanyak 10,000 tanah lot kediaman bergeran individu dalam tempoh lima tahun terkini

Peneraju Azlan Al-Amin Group Holdings Sdn. Bhd ini berkata, semua kerja buat kebajikannya adalah daripada hasil perniagaannya sendiri dan lebih selesa menggunakan kaedah tersebut untuk berbakti kepada masyarakat buat masa sekarang.

“Di luar sana,ada NGO-NGO yang memang benar benar ikhlas membantu masyarakat.

“Mereka sangat amanah menjaga dan menguruskan setiap sen sumbangan orang ramai.Siang malam mereka berkorban,mereka mampu buat apa yang saya tidak mampu buat.Tahniah buat mereka dan semoga mereka terus berbakti kepada masyarakat dengan berterusan.

“Memang dalam sesetengah perkara,kebajikan perlu didedahkan agar jadi tauladan kebajikan.InsyaAllah,mudah mudahan ramai yang berniat sedemikian.

“Namun saya,masih selesa di belakang tadbir.Kerana jika dihitung,terlalu banyak dosa berbanding kebaikan diri.Jadi bagaimana saya menyembunyikan dosa yang banyak,begitulah saya ingin menyembunyikan kebaikan yang sedikit,” katanya lagi.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com