24 set bubu naga dirampas

114
Video Maritim Malaysia

KUALA KEDAH, 17 Mac – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Kuala Kedah merampas 24 set bubu kambang atau bubu naga (China prawn net trap) dalam operasi pemantauan Op Aman di kedudukan 1.1 batu nautika perairan Tanjung Jaga, Yan petang semalam.

Pengarah Zon Maritim Kuala Kedah, Komander Maritim Noor Azreyanti binti Ishak berkata, berikutan aduan yang diterima, pemantauan dilaksanakan dan mendapati sebahagian dari set bubu naga terbabit menggunakan pengesanan Global Positioning System (GPS) berbanding penandaan pancang seperti sebelum ini.

Ini merupakan taktik terbaru yang digunakan oleh pemilik bubu naga bagi mengelak dari dikesan dan dirampas oleh penguat kuasa.

Penggunaan bubu naga dilihat menjadi solusi kepada mereka yang tidak bertanggungjawab berikutan modal yang sedikit dan mampu meraih keuntungan yang besar. Sebaliknya, penggunaan bubu naga ini mengancam dan boleh merosakkan ekosistem marin serta menjejaskan sumber pendapatan nelayan tradisional atau pesisir pantai.

Kesemua bubu naga tersebut dirampas dan dibawa ke Jeti Zon Maritim Kuala Kedah untuk disiasat mengikut Seksyen 11(3)(c) Akta Perikanan 1985.

Anggaran kesemua bubu naga yang dirampas bernilai lebih kurang RM2,880.

Nelayan diingatkan supaya mematuhi undang-undang dan tidak melanggar syarat lesen perikanan yang telah diperuntukan.

Zon Maritim Kuala Kedah tidak akan berkompromi terhadap sebarang aktiviti yang melanggar undang-undang dalam kawasan perairan negara.

Zon Maritim Kuala Kedah juga mengalu-alukan aduan mengenai sebarang aktiviti jenayah atau kecemasan di laut boleh disalurkan melalui talian kecemasan 24 jam MERS 999 atau Pusat Operasi Maritim Malaysia Zon Maritim Kuala Kedah di talian 04-7310579.