Saturday, 20, April, 2024
Utama Nasional Pendapatan pesawah meningkat di bawah SMART SBB

Pendapatan pesawah meningkat di bawah SMART SBB

oleh Ammar Haziq
Ronald (kanan) melihat Program Smart Sawah Berskala Besar (SMART SBB) dapat meningkatkan pendapatan peserta daripada RM2,000 kepada RM2,500 – RM5,000.

KEDAH, 13 Februari 2022 – Menjelang tahun 2025, MADA mensasarkan pendapatan peladang yang terlibat dengan Program Smart Sawah Berskala Besar (SMART SBB) dapat ditingkatkan daripada RM2,000 kepada RM2,500 – RM5,000.


Program SMART SBB ini merupakan salah satu inisiatif kerajaan dalam pengurusan sawah berpusat untuk mengoptimumkan penggunaan sumber dan meningkatkan kecekapan aktiviti penanaman dan pengeluaran hasil padi.


Selain itu, ia juga mampu meningkatkan pendapatan pesawah susulan pengurangan penglibatan orang tengah di sepanjang rantaian nilai industri padi dan beras negara yang dapat dimanfaatkan terus oleh pesawah yang menjadi matlamat utama pelaksanaan SMART SBB.


Pelaksanaan Program SMART SBB hari ini telah menyaksikan Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) diantara MADA dan BERNAS yang disempurnakan oleh Pengurus Besar MADA dan Pengurus Besar BERNAS. MoU ini adalah untuk memperincikan komitmen yang perlu diberikan oleh pihak BERNAS kepada peladang-peladang MADA yang menyertai Program SMART SBB.


MADA bersama rakan strategiknya BERNAS telahpun melaksanakan Program SMART SBB ini pada Musim 2/2021 dengan keluasan kawasan seluas 100 hektar bertempat di Kampung Tok Jering di bawah pengendalian Pertubuhan Peladang Kawasan A-IV, Batas Paip yang melibatkan seramai 32 orang peladang dengan keluasan 74.996 hektar dan Kampung Permatang Ibus di bawah pengendalian Pertubuhan Peladang Kawasan C-IV Kangkong melibatkan 11 orang peladang dengan kawasan seluas 23.012 hektar.


BERNAS memberi jaminan pulangan hasil 7.00 mt/hektar selepas 4 musim penanam padi
kepada peladang yang menyertai Program Smart Sawah Berskala Besar. Selain itu peladang turut menerima pemberian bayaran pendahuluan pada awal musim, perkongsian kos operas ladang, perkongsian keuntungan dan bonus peningkatan hasil padi serta beberapa inisiatif yang lain seperti penyertaan di dalam program Komuniti Industri Tani (KITA) yang dianjurkan oleh BERNAS.


Konsep diperkenalkan adalah smart farming penggunaan peralatan moden untuk meningkatkan kuantiti dan kualiti produk pertanian. Komponen smart farming ini juga melibatkan kaedah pertanian yang diuruskan dengan menggunakan jadual kerja ladang yang lebih tersusun dan diikuti dengan penggunan baja tambahan serta pematuhan kepada waktu-waktu aplikasi baja dan racun yang lebih tepat bagi memastikan keberkesanan terhadap pokok padi lebih optimum.


YB Menteri MAFI turut menyaksikan perjanjian menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU), ditandatangani oleh pihak MAFI bersama Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK) serta Memorandum Persefahaman (MoU) MADA bersama Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS) yang akan bertindak sebagai syarikat dan badan peneraju.


Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee berkata bertitik tolak daripada bulan September 2020, setakat ini terdapat penyertaan sembilan belas (19) syarikat peneraju termasuk Lembaga Zakat Negeri Kedah yang telah menandatangani Memorandum Persefahaman (MOU) dengan Kerajaan mensasarkan pembangunan kawasan penanaman padi seluas 300,000 hektar.


Dr Ronald juga telah merakamkan ucapan setinggi-tinggi penghargaan bagi pihak MAFI kepada Lembaga Zakat Negeri Kedah Yang telah menyertai program SMART SBB sebagai badan peneraju.


Dr Ronald berkata keistimewaan tambahan program melalui Lembaga Zakat Negeri Kedah ini adalah dengan menampilkan elemen kebajikan kepada pembangunan asnaf melalui penawaran khidmat bimbingan, latihan serta semua kemudahan berkaitan pembangunan industri dan beras.


Bagi Musim 1/2022, MADA akan meneruskan Program SMART SBB dengan syarikat-syarikat peneraju yang berminat. Menjelang tahun 2025, MADA mensasarkan 10,000 hektar kawasan sawah padi akan terlibat di dalam Program SMART SBB.


Tambah Dr Ronald, kejayaan program SMART SBB sebelum ini juga telah diterjemahkan melalui pencapaian Aspirasi Keluarga Malaysia (AKM) MAFI. Sehingga Oktober 2021, bilangan penglibatan dan hasil pendapatan kumpulan sasar iaitu pesawah, telah berjaya melebihi sasaran yang ditetapkan iaitu sebanyak 280 peratus.


Seramai 3,811 orang pesawah telah mendapat manfaat daripada program SMART SBB
melibatkan kawasan penanaman padi seluas lebih 9,500 hektar di beberapa tempat termasuk IADA Barat Laut Selangor dan IADA Seberang Perak.


“Peningkatan hasil padi juga cukup memberangsangkan. Sebagai contoh, program SMART SBB yang dilaksanakan di Sekinchan, Selangor telah meningkatkan hasil padi daripada 2.5 tan metrik sehektar kepada 8 hingga 10 tan metrik sehektar bagi musim 2/2021 dan musim 1/2022. Pada awalnya, hanya 83 pesawah telah menyertai program ini tetapi kini penyertaan telah melebihi 800 pesawah,” kata Dr Ronald.


Beliau yakin dengan kesungguhan semua, program ini akan terus mencapai kejayaan besar yang seterusnya akan meningkatkan pendapatan dan taraf hidup golongan sasar.


Adalah menjadi harapan MADA agar program SMART SBB dapat meningkatkan hasil padi
daripada 5.89 tan sehektar sebelum ini kepada 7.0 tan. Perancangan ini adalah selaras dengan komitmen Kerajaan di dalam Dasar Agromakanan Negara 2021-2030 (DAN 2.0) untuk meningkatkan tahap pendapatan pengeluar makanan serta tahap sara diri (SSL) beras negara daripada 63% kepada 75% dalam tempoh RMKe-12 dan 80% pada tahun 2030.


Kawasan Muda merupakan kawasan jelapang padi terluas di Malaysia dengan kawasan sawah padi seluas 100,658 hektar dengan ahli-ahli peladang berjumlah 57,635 orang.


KEMENTERIAN PERTANIAN DAN INDUSTRI MAKANAN
13 FEBRUARI 2022

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com