Friday, 26, April, 2024
Utama Negeri 1.2 tan daun ketum gagal diseludup

1.2 tan daun ketum gagal diseludup

oleh Ammar Haziq

ZON MARITIM KUALA KEDAH GAGALKAN CUBAAN SELUDUP 1.2 TAN DAUN KETUM

KUALA KEDAH, 11 Februari – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Kuala Kedah menggagalkan cubaan menyeludup keluar lebih kurang 1.2 tan daun ketum di kedudukan 0.9 batu nautika timur laut dari muara Kuala Kedah pada jam 6.00 pagi semalam.

Pengarah Zon Maritim Kuala Kedah, Komander Maritim Noor Azreyanti binti Ishak berkata, maklumat risikan telah mengesan sebuah bot nelayan tempatan kelas A yang mencurigakan berada berhampiran muara Kuala Kedah.

Sejurus menerima maklumat, bot ronda Maritim Malaysia telah diatur gerak ke lokasi berkenaan untuk melakukan serbuan.

Sebaik menyedari kehadiran pihak berkuasa, suspek bertindak menukar haluan memecut laju ke arah daratan berhampiran dan bertindak melarikan diri dengan terjun ke paya bakau lalu meloloskan diri.

Hasil pemeriksaan ke atas bot terbabit telah menemukan 120 bungkusan plastik berwarna hitam disyaki daun ketum dengan berat dianggarkan lebih kurang 1.2 tan bernilai sekitar RM216 ribu.

Daun ketum itu dipercayai cuba diseludup keluar ke negara jiran melalui jalan laut berikutan harga pasaran semasa daun ketum di Thailand telah mencecah lebih RM180 sekilogram, berbanding pasaran tempatan hanya sekitar RM 30 sahaja.

Semua hasil rampasan beserta bot nelayan tempatan kelas A dan enjin dianggarkan bernilai RM 276 ribu itu dibawa ke jeti Zon Maritim Kuala Kedah untuk diserahkan kepada Pegawai Penyiasat bagi tindakan lanjut.

Kes akan disiasat di bawah Seksyen 30(3) Akta Racun 1952 kerana penyalahgunaan ketum termasuk mengimport, menjual, memproses dan lain-lain berkaitan bahan tersebut. Jika disabit kesalahan boleh dikenakan hukuman denda tidak lebih daripada RM10 ribu atau penjara tidak lebih empat tahun atau kedua-duanya.

Maritim Malaysia akan terus memperhebatkan operasi dan pemantauan di sempadan dan perairan negara dari semasa ke semasa bagi membendung aktiviti penyeludupan, pencerobohan dan jenayah maritim yang berlaku di perairan utara Semenanjung Malaysia.

Pihak Maritim Malaysia, Zon Maritim Kuala Kedah mengalu-alukan aduan mengenai sebarang aktiviti jenayah atau kecemasan di laut dan boleh disalurkan melalui talian kecemasan 24 jam MERS 999 atau Pusat Operasi Maritim Malaysia Zon Maritim Kuala Kedah di talian 04-7310579.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com