Wednesday, 24, April, 2024
Utama Negeri Sorok 1.03 tan ketum dalam bot ubahsuai

Sorok 1.03 tan ketum dalam bot ubahsuai

oleh Ammar Haziq
Daun ketum disorok dalam ‘compartment’ bot yang telah diubah suai.

TAHAN DUA BOT, KRU WARGA ASING DAN SELUDUP KETUM
 
KUALA KEDAH, 16 Januari – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia), Zon Maritim Kuala Kedah telah menahan sebuah bot nelayan tempatan Kelas C dan sebuah bot fiber tanpa nombor pendaftaran dalam dua kes berasingan di perairan muara Kuala Kedah awal pagi  semalam.
 
Tangkapan pertama berikutan aduan awam melalui talian MERS 999 yang membabitkan sebuah bot nelayan tempatan Kelas C disyaki melakukan aktiviti menangkap ikan di kawasan yang tidak dibenarkan pada jam lebih kurang 6.20 pagi.
 
Bot terbabit ditahan di kedudukan 3.1 batu nautika barat daya muara Kuala Kedah bersama empat kru.
 
Semasa ditahan mereka enggan bekerjasama dan bertindak memotong pukat dengan tujuan melupuskan bahan bukti.
 
Pemeriksaan lanjut mendapati, bot terbabit, dikendalikan oleh  tekong bersama seorang kru warga tempatan dan dua kru lagi disyaki warga Thailand yang telah tamat tempoh Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) di Malaysia.
 
Bot dan kesemua kru ditahan serta akan disiasat di bawah seksyen 8(b), Akta Perikanan 1985 iaitu memukat ikan kurang dari 15 batu nautika dari pantai. Manakala, warga Thailand yang ditahan akan disiasat di bawah Seksyen 15 (4) Akta Imigresen 1959/63 kerana tinggal melebihi tempoh yang dibenarkan di negara ini.

Bot fiber tanpa nombor pendaftaran yang membawa ketum.


Manakala dalam kejadian berasingan, sekitar jam 6.45 pagi sebuah bot fiber tanpa nombor pendaftaran dikesan sedang menuju keluar dari muara Kuala Kedah dalam keadaan gelap dan mencurigakan.
 
Sebaik menyedari kehadiran pihak berkuasa, suspek bertindak menukar haluan dengan memecut laju ke arah daratan berhampiran dan bertindak melarikan diri.
 
Pemeriksaan ke atas bot berkenaan menemukan 103 bungkusan plastik berwarna hitam disyaki daun ketum dengan anggaran berat 1.03 tan yang telah disorokkan di dalam ‘compartment’ bot yang telah diubah suai.
 
Kesemua bungkusan hitam daun ketum, bot beserta enjin yang dianggarkan bernilai RM 505,400 akan disiasat di bawah Seksyen 30(3) Akta Racun 1952 kerana penyalahgunaan ketum termasuk mengimport, menjual, memproses dan lain-lain berkaitan bahan tersebut.
 
Zon Maritim Kuala Kedah tidak akan berkompromi terhadap sebarang aktiviti yang melanggar undang-undang dalam kawasan perairan negara.
 
Zon Maritim Kuala Kedah juga mengalu-alukan aduan mengenai sebarang aktiviti jenayah atau kecemasan di laut boleh disalurkan melalui talian kecemasan 24 jam MERS 999 atau Pusat Operasi Maritim Malaysia Zon Maritim Kuala Kedah di talian 05-7310579.
 
KOMANDER MARITIM NOOR AZREYANTI BINTI ISHAK
PENGARAH
ZON MARITIM KUALA KEDAH
AGENSI PENGUATKUASAAN MARITIM MALAYSIA
KEMENTERIAN DALAM NEGERI

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com