Friday, 19, April, 2024
Utama Nasional Warga asing cuba seludup masuk 97,500 karton rokok bernilai RM14 juta

Warga asing cuba seludup masuk 97,500 karton rokok bernilai RM14 juta

oleh Ammar Haziq

LANGKAWI, 13 Januari – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Kedah dan Perlis menahan sebuah bot barter trade membawa 97,500 karton rokok pada jarak lebih kurang 2.7 batu nautika, barat Tanjung Belua, Langkawi pada jam 4.00 pagi semalam.

Kejayaan tangkapan adalah hasil maklumat risikan dan intipan berterusan Maritim Negeri Kedah/Perlis mengenai aktiviti jenayah penyeludupan di perairan Kedah, terutamanya di jalur sempadan perairan Malaysia – Thailand, serta kerjasama rapat dengan penguatkuasa negara jiran.

Serbuan dilakukan berikutan penerimaan maklumat mengenai pergerakan suspek berada dalam perairan Malaysia dan sebuah bot ronda Maritm Malaysia diatur gerak ke lokasi, seterusnya berjaya mengesan sebuah bot barter trade disyaki suspek, lalu memintas mereka untuk pemeriksaan.

Hasil pemeriksaan ke atas bot barter trade dengan tanda nama KM Bintang Jaya disyaki dari Thailand, telah menemukan anggaran sebanyak 1,950 kotak bungkusan mengandungi 19.5 juta batang rokok seludup pelbagai jenis yang disyaki cuba dibawa masuk ke negara ini. Pemeriksaan lanjut turut menemukan 39 guni berisi tembakau dengan nilai anggaran RM780,000.

Berikutan itu bot barter trade, barang rampasan, tekong bersama tujuh kru bot berusia lingkungan 19 hingga 55 tahun disyaki warga Indonesia memiliki dokumen pengenalan diri yang meragukan telah ditahan dan diiring masuk ke jeti Maritim Malaysia Bukit Malut untuk diserahkan kepada pegawai penyiasat untuk tindakan lanjut.

Nilai keseluruhan rampasan dianggarkan RM15,417,500 merangkumi sebuah bot barter trade, rokok pelbagai jenis sejumlah 97,500 karton dan 39 guni tembakau.

Nilai hasil cukai Kerajaan ke atas 97,500 karton rokok yang dirampas ini dianggarkan lebih kurang RM1.95 juta.

Kes akan disiasat di bawah Seksyen 49(1) dan 135(1)(a) Akta Kastam 1967 kerana cuba membawa masuk rokok seludup ke Malaysia dan Akta Imigresen 1959/63 kerana memasuki Malaysia tanpa menggunakan pintu yang sah.
Hasil siasatan awal mendapati, modus operandi penyeludupan barang terlarang rentas sempadan ini dipercayai dibawa dari Thailand untuk dipasarkan ke pasaran tempatan menggunakan taktik pemalsuan ‘stamp duty paid’ pada kotak-kotak rokok berkenaan.

Maritim Malaysia percaya aktiviti penyeludupan rokok dalam kapasiti besar seperti ini didalangi oleh sindiket antarabangsa yang turut melibatkan ejen- ejen darat dan laut dalam kalangan warga tempatan.

Maritim Malaysia memandang serius aktiviti penyeludupan barang terlarang ini. Maritim Negeri Kedah dan Perlis juga mengalu-alukan maklumat daripada seluruh komuniti maritim setempat untuk melaporkan sebarang jenayah mahupun kecemasan di laut secara terus ke talian Pusat Operasi Maritim Negeri Kedah dan Perlis di talian 04-9662750 atau MERS 999.

LAKSAMANA PERTAMA MARITIM MOHD ZAWAWI BIN ABDULLAH PENGARAH MARITIM NEGERI KEDAH DAN PERLIS
AGENSI PENGUATKUASAAN MARITIM MALAYSIA

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com