Friday, 29, March, 2024
Utama Negeri Bot kelas A ditahan, gaji pati dan guna peralatan dilarang

Bot kelas A ditahan, gaji pati dan guna peralatan dilarang

oleh Ammar Haziq

KUALA KEDAH, 10 Januari – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Kuala Kedah menahan sebuah bot nelayan tempatan kelas A atas pelbagai kesalahan di kedudukan 2.6 batu nautika barat muara Kuala Kedah petang semalam.

Pengarah Zon Maritim Kuala Kedah, Komander Maritim Noor Azreyanti binti Ishak berkata, tangkapan tersebut dilakukan pada jam lebih kurang 6.50 petang, semasa rondaan rutin Op Benteng dan Op Aman di sekitar perairan Kuala Kedah.

Hasil pemeriksaan mendapati mereka menggunakan peralatan menangkap ikan yang salah iaitu sangkar besi.

Bot nelayan terbabit dikendalikan lima kru termasuk tekong, berumur lingkungan 41 hingga 46 tahun. Salah seorang daripada kru disyaki warga Thailand.

Mereka didapati telah melanggar syarat sah lesen di bawah seksyen 8(b), Akta Perikanan 1985 iaitu memiliki peralatan sangkar besi yang tidak dilesenkan ketika di laut dan Pekeliling Perlesenan Bil 5/2017 iaitu pelaksanaan syarat lesen vessel menangkap ikan tempatan dengan tidak boleh menggunakan peralatan menangkap ikan selain daripada yang di lesenkan.

Manakala kru warga Thailand juga didapati melakukan kesalahan di bawah Seksyen 6(3) Akta Imigresen 1959/63 kerana tidak mempunyai pas atau permit yang sah untuk tinggal di Malaysia.

Tekong, kru dan bot ditahan dan diiring masuk ke Jeti Zon Maritim Kuala Kedah untuk siasatan lanjut.

Nelayan diingatkan agar mematuhi undang-undang yang ditetapkan dan tidak melanggar syarat lesen perikanan yang telah diperuntukan. 

Zon Maritim Kuala Kedah tidak akan berkompromi terhadap sebarang aktiviti yang melanggar undang-undang dalam kawasan perairan negara.

Zon Maritim Kuala Kedah juga mengalu-alukan aduan mengenai sebarang aktiviti jenayah atau kecemasan di laut boleh disalurkan melalui talian kecemasan 24 jam MERS 999 atau Pusat Operasi Maritim Malaysia Zon Maritim Kuala Kedah di talian 05-7310579.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com