UUM terokai Azolla makanan alternatif ternakan

240
Penyelidikan UUM terhadap Azolla dapat membantu meringankan beban kos makanan ternakan terhadap penternak setempat.

Isu kenaikan harga makanan ternakan atau dedak untuk ayam dan lembu mendatangkan beban yang besar terhadap golongan penternak terutamanya komuniti kampung yang terlibat dalam industri penternakan.

Atas kesedaran ini telah mendorong Ketua Pusat Kajian Food Security, Innovation dan Development (FInDER), Pusat Pengajian Pengurusan Teknologi dan Logistik (STML), Prof. Madya Dr. Risyawati Mohamed untuk mencari alternatif terbaru dengan melakukan penyelidikan terhadap Azolla yang membantu meringankan beban kos makanan ternakan terhadap penternak setempat.

Menurutnya, Azolla merupakan sejenis tumbuhan hijau yang tumbuh secara bersimbiosis dengan sejenis cyanobacterium (alga biru-hijau) iaitu anabaena dan ia didapati tumbuh dengan banyak di dalam kolam air dan juga sawah padi di pelbagai negara di Asia.

“Terdapat pelbagai spesies Azolla yang mana setiap satunya mempunyai potensi yang besar untuk dikomersialkan dalam bidang makanan dan juga kosmetik. Negara-negara luar seperti India, Indonesia dan Filipina pula banyak menggunakan Azolla sebagai makanan ternakan.

“Di Malaysia, usaha yang sama telah dilakukan tetapi kegunaan Azolla belum mencapai tahap yang optimal dan signifikan untuk menampung keperluan industri ternakan tempatan.

“Kandungan protein yang tinggi (20-30%) dan kandungan asid amino seperti lisin, menjadikan Azolla sebagai sumber makanan yang amat sesuai untuk ternakan dan inisiatif yang lebih agresif perlu diambil bagi meneroka potensinya,” katanya yang juga ahli mikrobiologi.

Mengambil kira faktor tersebut, beliau telah melakukan penyelidikan mendalam terhadap beberapa jenis ‘water fern’ seperti Azolla bertujuan untuk menerokai kegunaan genus ini daripada pelbagai segi.

Menurutnya, salah satu daripada tujuan utama penyelidikan dalam bidang tumbuhan ini dilakukan adalah untuk menerokai potensinya dalam bidang makanan manusia, makanan ternakan dan kosmetik.

Katanya, potensi tumbuhan dan alga selain Azolla juga sedang dikaji dan akan terus diterokai terutamanya bagi menyokong kesinambungan usaha bagi mendokong rangkaian bekalan makanan yang lebih kuat dan stabil.

“Keselamatan makanan merupakan satu agenda besar negara yang perlu kita sokong. UUM sendiri mempunyai kepakaran dan sokongan yang cukup untuk menyumbang ke arah pemantapan aktiviti ekonomi dalam kalangan komuniti tempatan terutamanya golongan B40 yang berkecimpung dalam industri penternakan.

“Setakat ini, hasil daripada penyelidikan mendapati Azolla sangat sesuai dijadikan makanan ternakan terutamanya untuk arnab dan ayam. Saya masih meneruskan usaha untuk melihat potensi Azolla untuk makanan ternakan lain, antaranya Azolla pinnata,” katanya.

Mengulas lanjut, Dr. Risyawati berkata, penyelidikan itu bermula dengan dorongan ingin membantu penternak daripada golongan B40, dan menerima geran sokongan dari UUM.

Menurutnya, penglibatan FInDER dalam projek penternakan ayam dalam kalangan komuniti masyarakat kampung di Kedah sejak tahun 2020 telah membuka mata penyelidik berkaitan isu makanan ternakan.

Katanya, dengan pengalaman ini, jelaslah bahawa kos makanan ternakan amat membebankan penduduk kampung yang cuba melibatkan diri dalam industri penternakan.

Hasil daripada penyelidikan yang dijalankan itu, beliau berjaya memfailkan satu paten dan enam harta intelek, menulis artikel akademik dan bab dalam buku, seterusnya mengkomersialkan produk yang dihasilkan daripada penyelidikan tersebut.

“Buat masa ini, saya telah menghasilkan beberapa variasi makanan ternakan untuk arnab dan ayam yang telah mencapai fasa pre-komersialisasi.

“Selain itu, terdapat pelbagai cabaran yang dihadapi untuk memastikan pertumbuhan Azolla cukup untuk menampung keperluan penyelidikan dan seterusnya keperluan kegunaan secara komersil. 

“Azolla adalah sejenis ‘fern’ yang mudah hidup dalam ekosistem yang sesuai namun Azolla juga mudah mati apabila kondisi di dalam medium pembiakan tidak sesuai. Faktor-faktor seperti suhu, pH, nutrien dan jumlah pendedahan kepada cahaya matahari perlu diambilkira bagi memastikannya hidup subur dan membiak,” katanya.

Beliau menyatakan bahawa kerjasama dan sokongan daripada anak syarikat UUM sendiri akan dijadikan sebagai platfom bagi memastikan produk itu berjaya dikomersialkan dan mencapai komuniti sasaran.