Kerajaan Kedah sumbang RM200,000 kepada Selangor bantu mangsa banjir

209
Muhammad Sanusi.

SIARAN MEDIA
20 DISEMBER 2021

Kerajaan Negeri Kedah Akan Sumbangkan RM200 Ribu Kepada Selangor

Assalamualaikum wbt.

Kerajaan Negeri Kedah Darul Aman amat bersimpati dan berdukacita dengan musibah banjir besar yang melanda penduduk di Selangor Darul Ehsan dan beberpa negeri lain. Kesukaran penduduk dan kemusnahan harta benda tentulah lebih besar daripada yang dapat dibayangkan.

Kerajaan Pusat dan Kerajaan Negeri khususnya Negeri Selangor yang paling teruk terjejas pastinya bertungkus-lumus mengerahkan seluruh keupayaan aset dan agensi kerajaan bagi membantu rakyat menghadapi musibah ini.

Sebagai tanda kebersamaan kami rakyat Kedah dengan seluruh mangsa banjir di Selangor, Kerajaan Negeri Kedah akan menghulurkan sumbangan khas kepada Kerajaan Negeri Selangor sebanyak RM200,000.00 (Dua Ratus Ribu sahaja).

Sumbangan ini akan diuruskan oleh Pejabat Pegawai Kewangan Negeri seberapa segera. Semoga bantuan kecil ini dapat membantu rakyat dan kerajaan Negeri Selangor.

Selain sumbangan kerajaan negeri, pihak Khidmat Malaysia Cawangan Kedah juga sedang menggerakkan kutipan sumbangan untuk dibawa ke Selangor bersama aset dan petugas untuk membantu penduduk di sana. Semoga seluruh bantuan yang sedang diusahakan akan membantu mereka menghadapi kesukaran pasca banjir.

Sekian Terima Kasih.

Muhammad Sanusi Md Nor
Menteri Besar Kedah
Seri Mentaloon
Alor Setar, Kedah DA.