Friday, 19, April, 2024
Utama Nasional RM1.92 juta bantu usahawan luar bandar mulakan semula perniagaan terjejas

RM1.92 juta bantu usahawan luar bandar mulakan semula perniagaan terjejas

oleh Ammar Haziq
Datuk Seri Mahdzir Khalid

PADANG TERAP, 18 Dis – Kementerian Pembangunan Luar Bandar, KPLB, memperuntukkan sejumlah RM1.92 juta bagi membantu usahawan luar bandar memulihkan semula perniagaan yang terjejas akibat pandemik Covid-19.

Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, peruntukan itu disalurkan menerusi program khas Sokongan Pengukuhan Keusahawanan Luar Bandar (SPKLB).

“Program Sokongan Pengukuhan Keusahawanan Luar Bandar tersebut turut menjadi salah satu inisiatif di bawah Strategi Memperkukuh Program Sokongan Keusahawanan Luar Bandar, Aspirasi Keluarga Malaysia 100 Hari.

“Bermula September lalu, KPLB telah melaksanakan Program Sokongan SPKLB Re-Start yang bertujuan untuk membantu usahawan luar bandar yang terjejas akibat Covid19 bagi memulakan semula perniagaan mereka dengan penyediaan geran bantuan dalam bentuk pembelian, pembaikan aset, mesin, peralatan, modal pusingan dan pengubahsuaian premis dengan nilai RM3,000 hingga RM5,000.”

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Program Outreach Keusahawanan dan Pendidikan KPLB di Kompleks Komuniti Padang Kerasak di Naka dekat sini hari ini.

Turut hadir, Ketua Setiausaha KPLB, Datuk Ramlan Harun.

Menurut Mahdzir, setakat ini sejumlah 400 usahawan luar bandar di seluruh negara telah menerima manfaat daripada geran program SPKLB.

Program tersebut diperkenalkan pada tahun 2019 dengan menyediakan geran penuh kepada usahawan bagi menampung kos operasi dan keperluan modal pusingan bagi meneruskan kelangsungan perniagaan.

Selain menyediakan latihan, kursus dan kejurulatihan yang bersesuaian kepada usahawan yang komited mengembangkan perniagaan mereka.

“Program SPKLB disasarkan kepada usahawan luar bandar yang komited meningkatkan taraf hidup dan ekonomi selain menggalakkan usahawan untuk membangunkan produk dan perkhidmatan yang bernilai tinggi bagi meluaskan pasaran produk mereka.” ujar Mahdzir.

Pada majlis yang sama, Mahdzir turut menyempurnakan Simbolik Penyerahan Geran Bantuan SPKLB kepada 400 usahawan di seluruh negara, menyampaikan bantuan gajet pembelajaran kepada 50 pelajar dan cermin mata kepada 100 pelajar dari keluarga B40.

Turut disampaikan, bantuan wang saku persekolahan kepada 300 pelajar sekitar daerah Padang Terap dan Bantuan Bakti Desa KPLB kepada 204 orang pelajar berjumlah RM204 ribu.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com