Saturday, 20, April, 2024
Utama Negeri UUM ketepikan tujuh universiti Asia untuk raih anugerah

UUM ketepikan tujuh universiti Asia untuk raih anugerah

oleh Ammar Haziq

SINTOK: Kedudukan Universiti Utara Malaysia (UUM) dalam Times Higher Education (THE) World University Rankings yang sentiasa menunjukkan peningkatan memberangsangkan telah menarik perhatian pakar data THE untuk memilih UUM sebagai penerima anugerah THE Awards Asia 2021 bagi kategori THE DataPoints Improved Performance Awards yang diumumkan dalam THE Awards Asia ke-3, semalam.

Pakar data THE merupakan pihak yang bertanggung jawab meneliti prestasi setiap universiti di rantau ini semasa proses pengumpulan data penarafan.

Kemenangan bersejarah buat Universiti Pengurusan Terkemuka itu juga amat membanggakan kerana berjaya mengetepikan tujuh lagi universiti di Asia dalam kategori yang sama.

Tujuh universiti lain tersebut ialah Central South University (China), Guangxi University (China), Imam Abdulrahman Bin Faisal University (Saudi Arabia), University of Jordan (Jordan), Kansai Medical University (Japan), Kwansei Gakuin University (Japan) dan Thapar Institute of Engineering and Technology (India).

Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) yang menjalankan fungsi Naib Canselor, Prof. Dr. Haim Hilman Abdullah berkata, pengiktirafan itu adalah yang pertama diterima UUM setelah disenarai pendek dalam kategori tersebut dan seterusnya berjaya merangkul anugerah itu.

Menurutnya, kejayaan ini adalah hasil usaha seluruh warga universiti yang bekerja secara berpasukan sebagai satu keluarga.

“Dengan penganugerahan ini telah mengukuhkan lagi jenama UUM di persada antarabangsa, seterusnya menjadikan nama UUM terus dikenali.

“Saya berharap UUM terus komited mempamerkan prestasi cemerlang bukan sahaja di peringkat nasional, malah dunia kerana tidak mustahil untuk kita menggapai kecemerlangan ini jika tiada usaha bersama,” katanya.

Sementara itu, Pengurus Projek Khas (Special Projects Manager) Times Higher Education, David Suter berkata, usaha yang telah dilakukan oleh UUM sejak beberapa tahun ini terutamanya dalam aspek ‘international outlook’ telah membuahkan hasil sehingga dinobatkan sebagai pemenang THE Awards Asia 2021.

THE Awards Asia merupakan sebuah anugerah antarabangsa yang mengiktiraf kecemerlangan prestasi Institusi Pengajian Tinggi dalam pelbagai aspek. Acara berkenaan merupakan kesinambungan daripada THE Awards iaitu acara anugerah pendidikan tinggi berprestij di United Kingdom yang mula dianjurkan di Asia pada 2019.

Terdapat lapan kategori yang dipertandingkan dalam THE Awards Asia 2021 yang memerlukan penyertaan daripada universiti iaitu Leadership and Management Team of the Year, Excellence and Innovation in the Arts, International Strategy of the Year, Outstanding Support for Students, Student Recruitment Campaign of the Year, Teaching and Learning Strategy of the Year, Technological or Digital Innovation of the Year dan Workplace of the Year.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com