Friday, 26, April, 2024
Utama Negeri Temui 11 pembiakan nyamuk berpontensi sebar virus JE di Kota Setar

Temui 11 pembiakan nyamuk berpontensi sebar virus JE di Kota Setar

oleh Ammar Haziq

KENYATAAN MEDIA PENGARAH KESIHATAN NEGERI KEDAH
SITUASI TERKINI WABAK JAPANESE ENCEPHALITIS
DI DAERAH KOTA SETAR, KEDAH

Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Kedah ingin memaklumkan perkembangan terkini wabak Japanese Encephalitis (JE) di daerah Kota Setar. Sehingga 2 Disember 2021 (hari ke-8 wabak), bilangan kes JE yang dilaporkan di lokaliti wabak kekal 2 kes, kedua-duanya telah meninggal dunia.


Aktiviti kawalan wabak telah dilaksanakan bermula pada 25 November Sehingga 2 Disember 2021, berikut adalah pencapaian aktiviti kawalan yang dilakukan oleh Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Kota Setar dan Jabatan Kesihatan Negeri Kedah:


i. Pengesanan kes secara aktif (ACD) telah dijalankan di sekitar kawasan terlibat. Seramai 674 daripada 2926 orang (atau 23.0%) penduduk di kedua-dua lokaliti telah disaring untuk gejala penyakit JE dan didapati tiada penduduk yang bergejala.


ii. Dalam usaha menghapuskan tempat pembiakan nyamuk, sebanyak 291 (atau 70.6%) daripada premis dalam 400 meter radius dari rumah pesakit telah diperiksa. Semasa pemeriksaan, 14 bekas pembiakan nyamuk telah ditemui dan sebanyak 672 ml Abate 500E BTI digunakan untuk larvasiding. Semburan ruang termal telah dilakukan pada 25 dan 26 November 2021 meliputi 412 premis (100%). Semburan ruang ULV juga telah dilakukan pada 25 dan 27 November 2021 meliputi 912 premis.


iii. Hasil kajian Entomologi di lokaliti wabak telah menemui 11 pembiakan nyamuk Culex Tritaenioryhncus dan Culex sitiens yang berpotensi menyebarkan virus JE.
iv. Siasatan juga mendapati, tiada ladang penternakan khinzir berdaftar atau tidak berdaftar di sekitar lokaliti wabak. Tinjauan menggunakan dron di sepanjang sungai berdekatan dengan lokaliti wabak juga tidak menemui sebarang lokasi berisiko kecuali kehadiran burung hijrah di kawasan bendang. Di samping itu, tiada aduan penduduk
tentang kehadiran khinzir liar atau babi hutan di sekitar kedua-dua lokasi kediaman pesakit.


v. Risalah promosi kesihatan telah diedarkan kepada semua penduduk yang tidak dapat ditemui dan hebahan pendidikan kesihatan menerusi kumpulan WhatsApp penduduk juga telah dilaksanakan. Promosi kesihatan menerusi hebahan awam telah dibuat untuk
menasihati penduduk mendapatkan rawatan segera jika mengalami tanda-tanda demam, sakit kepala dan muntah.


vi. PKD Kota Setar juga telah mengedarkan makluman kepada semua hospital dan klinik swasta agar melaporkan kes-kes yang mempunyai tanda dan gejala jangkitan JE kepada Pejabat Kesihatan Dearah.


vii. Jabatan Perhilitan Negeri Kedah, Jabatan Veterinar Negeri Kedah, Majlis Bandaraya Alor Setar dan PKD Kota Setar juga telah mengenalpasti lokasi untuk penangkapan burung hijrah bagi ujian PCR virus JE.

Untuk mencegah penularan penyakit JE, Jabatan ini menyeru seluruh masyarakat di sekitar Kota Setar melaksanakan langkah-langkah pencegahan berikut:


i. Elakkan gigitan nyamuk dengan menggunakan repelan dan memakai pakaian berlengan panjang dan seluar panjang berwarna cerah, apabila berada di luar rumah.


ii. Membuat semburan dalam rumah menggunakan semburan aerosol sekitar jam 10.00 malam bagi membunuh nyamuk dewasa.


iii. Membersihkan persekitaran serta mencari dan memusnahkan tempat pembiakan nyamuk di kediaman dan premis masing-masing.


iv. Mendapatkan rawatan segera di klinik kesihatan sekiranya mengalami tanda-tanda seperti demam, sakit kepala dan muntah.


Sekian, terima kasih.
Dr Othman bin Warijo
Pengarah Kesihatan Negeri Kedah
3 Disember 2021

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com