Friday, 19, April, 2024
Utama Negeri Banteras judi agenda masyarakat dunia

Banteras judi agenda masyarakat dunia

oleh Ammar Haziq
Ahmad Tarmizi Sulaiman

BANTERAS JUDI ADALAH AGENDA MASYARAKAT DUNIA YANG LEBIH SEJAHTERA.

Berdasarkan pengumuman terkini yang telah dikeluarkan oleh YAB Menteri Besar Kedah berhubung kenyataan bahawa pihak berkuasa tempatan (PBT) tidak lagi akan memberi kelulusan lesen premis perjudian di seluruh negeri, semua pihak harus menyokong penuh usaha dan tindakan tegas bagi perkara tersebut. Oleh itu, semua pihak sewajarnya agar berganding bahu dalam melaksanakan langkah ini secara menyeluruh dan bersepadu.

Langkah yang di ambil oleh Kerajaan ini dilihat dapat memberikan impak positif kepada pembangunan ekonomi keluarga dan umat Islam di mana boleh mengekang isu permasalahan rumah tangga yang berlaku disebabkan oleh aktiviti perjudian. Saya melihat dalam konteks yang lebih luas di mana langkah ini harus diikuti dan dicontohi oleh pentadbiran kerajaan negeri-negeri lain supaya ia dapat mencegah kemudaratan masyarakat di Malaysia secara amnya.

Mengambil contoh di dua negeri Amerika Syarikat, iaitu Utah dan Hawaii; Robert M. Jarvis menerbitkan artikel di Gaming Law Review and Economics pada tahun 2010 berjudul “Gambling in Hawai’i and Utah” menyatakan bahawa kedua-dua negeri tersebut telah mewartakan bahawa semua bentuk perjudian adalah haram dioperasikan samaada secara terbuka mahupun secara tertutup.

Penduduk Hawaii menentang aktiviti perjudian kerana mereka melihat aktiviti tidak berfaedah ini akan menghilangkan suasana harmoni kekeluargaan, dan sekaligus boleh menimbulkan banyak isu sosial termasuk huru-hara.

Antara contoh lain, Negara Monaco mempunyai reputasi sebagai lokasi hiburan golongan kaya dan terkenal bahkan dianggarkan 30% daripada populasi adalah jutawan. Akan tetapi, kerajaan Monaco telah melarang warga tempatan Monaco daripada terlibat dalam sebarang permainan berunsurkan judi, bahkan turut melarang meraka daripada memasuki premis tersebut. Dalam masa yang sama, kebenaran untuk berjudi secara tegas hanya diberikan kepada warga asing yang membentuk 80% daripada 36,000 jumlah penduduk.

Melalui artikel yang dikeluarkan oleh Michael Persuad pada 6 Oktober 2020 melalui portal luxuryviewer, sekatan itu bermula sejak akhir 1800-an apabila Putera Monaco, iaitu Putera Charles memutuskan untuk mengharamkan penduduk tempatan daripada berjudi kerana krisis kewangan. Sebaliknya, rancangannya adalah untuk menggalakkan orang lain iaitu pelawat Inggeris kelas atasan yang kaya untuk memperjudikan wang tunai mereka. Kemudian, Puteri Caroline meneruskan larangan yang sama sehingga kini. Kedua-dua raja mahu menghalang kasino daripada mengeksploitasi warga tempatan.

Selain itu, pada 15 Jun 2020, The Guardian telah menerbitkan suatu artikel yang mendedahkan perincian penyelidikan oleh Kumpulan Rentas Parti Parlimen United Kingdom, yang sebelum ini berjaya berkempen untuk mengharamkan pertaruhan kad kredit dan menggesa kawalan yang lebih ketat ke atas sektor yang telah berkembang pesat. Mereka membuat suatu cadangan yang sangat relevan iaitu mengharamkan iklan perjudian yang memerlukan perubahan besar terhadap undang-undang perjudian Akta Perjudian 2005 yang pernah diperkenalkan di bawah kerajaan Tony Blair lebih sedekad lalu.

Menurut laporan oleh The Telegraph pada 9 Januari 2010, perjudian di China telah digazetkan sebagai aktiviti haram di bawah undang-undang China bahkan telah diharamkan secara rasmi sejak Parti Komunis mengambil alih kuasa pada tahun 1949.

Sebarang bentuk perjudian oleh warga China, termasuk perjudian dalam talian, perjudian di luar negara, membuka kasino di luar negara untuk menarik rakyat China sebagai pelanggan utama, adalah haram dan akan dihukum dengan berat.

Oleh itu, dapat dirumuskan di peringkat antarabangsa turut melihat implikasi buruk terhadap judi dan secara agresif mewartakan akta berkenaan bagi kesejahteraan penduduk dan rakyat negara tersebut.

Saya mengucapkan jutaan tahniah kepada pihak kerajaan negeri Kedah bersatu hati dalam perkara ini, seterusnya diangkat sebagai suatu usaha tegas, berani dan murni bagi membendung aktiviti yang merosakkan masyarakat sejak sekian lama.

Kerajaan Negeri Kedah sememangnya sangat mengalukan sebarang perniagaan dan pelaburan di Negeri Kedah yang menepati Syariat Allah S.W.T dalam usaha membangun kemakmuran ekonomi dan taraf hidup rakyat.

AHMAD TARMIZI SULAIMAN
Ahli Parlimen Sik

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com