MADA sambut baik usaha kerajaan menstabilkan harga baja dan racun

46

KENYATAAN MEDIA
LEMBAGA KEMAJUAN PERTANIAN MUDA
USAHA KERAJAAN MENSTABILKAN HARGA BAJA DAN RACUN

Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) sambut baik langkah yang diambil oleh
Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) dan Kementerian Perdagangan
Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) yang telah menubuhkan
Jawatankuasa Bersama Berkenaan Isu Kenaikan Harga Baja dan Racun sebagai
usaha bersepadu untuk meneliti cadangan tindakan dan kaedah penyelesaian serta
langkah-langkah lain dalam membantu petani serta pengusaha kecil yang
berhadapan dengan isu kenaikan harga baja dan racun secara mendadak.

Dengan mengambil kira faktor-faktor luar kawalan yang menyebabkan kenaikan
harga tersebut, MADA ingin mencadangkan pihak kerajaan pertimbangkan langkah
intervensi untuk menstabilkan harga baja dan racun khususnya bagi sektor
penanaman padi atas dasar sekuriti makanan negara. MADA melihat langkah
penting ini perlu bagi membantu peladang MADA di dalam menguruskan kos operasi
perladangan berada ditahap yang optimum dan boleh memberi keuntungan
kepada peladang.

Pihak MADA juga mencadangkan agar peladang-peladang mengadaptasi
Pengurusan Perosak Bersepadu (PPB) dalam pengurusan sawah padi dengan
mengamalkan kawalan perosak dan penyakit berdasarkan penentuan tahap
ambang ekonomi (Economic Threshold Level-ETL). Peladang boleh merujuk di 945
lokasi bendera amaran pengawasan dan ramalan bagi menentukan tahap
kehadiran perosak dan penyakit. Amalan penggunaan racun secara intensif dan
berjadual tanpa mengira kehadiran peosak dan penyakit di petak sawah boleh
menyebabkan pembaziran racun kimia dan meningkatkan kos operasi ladang.

Sebagai rekod terdapat seluas 100,685 hektar sawah padi di Kawasan Muda yang
diuruskan oleh 57,635 orang peladang menyumbang secara purata kepada 40%
pengeluaran padi Negara.


YB Ahmad Tarmizi bin Sulaiman
Pengerusi
Lembaga Kemajuan Pertanian Muda
15 NOVEMBER 2021