Saturday, 20, April, 2024
Utama Nasional 1.7 juta kekosongan jawatan diiklankan setakat 1 Oktober

1.7 juta kekosongan jawatan diiklankan setakat 1 Oktober

oleh Ammar Haziq
Datuk Awang Hashim

TIMBALAN MENTERI SUMBER MANUSIA

KENYATAAN MEDIA

PENJANA KERJAYA 3.0 – PROGRAM MALAYSIANIZATION

1. Melalui data Portal Pekerjaan MYFutureJobs setakat 1 Oktober 2021, sebanyak 1.7 juta kekosongan jawatan telah diiklankan dan sebanyak 270,358 jawatan dalam kategori aktif untuk dipadankan dengan pencari kerja. Daripada bilangan tersebut, 223,870 kekosongan berjaya diisi, manakala sebanyak 46,488 kekosongan jawatan aktif masih lagi terbuka untuk tujuan pemadanan. Semakan ke atas data kekosongan jawatan adalah mendapati kekosongan jawatan yang ditawarkan sebahagian besar adalah dari bidang tidak memerlukan kemahiran atau dari kategori jawatan berkemahiran rendah.

2. Mengambil kira faktor kesejahteraan rakyat serta ketahanan ekonomi Negara dalam mendepani cabaran pandemik Covid-19, Kerajaan telah memperkenalkan Program Insentif Penggantian Jawatan Pekerjaan Asing yang ditawarkan kepada perkerja tempatan atau lebih dikenali sebagai Malaysianization bagi menggalakkan pengambilan tenaga kerja tempatan dan mengurangkan kebergantungan terhadap tenaga kerja asing.

3. Melalui program ini, pekerja layak menerima insentif tambahan sebanyak RM500 atau 20% daripada gaji bulanan (yang mana lebih tinggi). Sebagai contoh, sekiranya tawaran gaji adalah RM 1,500 pekerja akan diberi insentif RM 500 menjadikan jumlah gaji kasar sebanyak RM 2000. Had kelayakan insentif ini telah ditetapkan kepada pemberian gaji pekerja pada paras minima RM 1,500 bagi majikan yang menyertai program ini.

4. Selanjutnya, pada tahun 2021 Kerajaan telah menambahbaik insentif Malaysianization melalui pakej PEMULIH dengan mengurangkan had kelayakan insentif daripada paras gaji RM 1,500 kepada RM 1,200 agar dapat mendorong majikan untuk menyertai program ini terutamanya majikan dari kategori kecil dan sederhana. Dengan pengurangan had kelayakan ini, pekerja yang menerima gaji sebanyak RM 1,200 akan turut mendapat manfaat insentif tambahan RM500 atau 20% daripada gaji bulanan yang ditawarkan.

5. Harapan saya agar pernyataan ini akan dapat menjelaskan isu yang timbul lanjut daripada sesi perbahasan di Dewan Rakyat pada tempoh hari. Saya juga menekankan bahawa pernyataan yang diberikan tidak bersangkut paut dengan penetapan kadar gaji minimum sebanyak RM 1,200 sebulan melalui Perintah Gaji Minimum 2020 yang masih lagi sedang berkuatkuasa.

DATUK HAJI AWANG BIN HASHIM

TIMBALAN MENTERI SUMBER MANUSIA

PUTRAJAYA

9 OKTOBER 2021

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com