Pejuang mohon perkenan Agong isytihar darurat di Melaka

47

PILIHAN RAYA NEGERI MELAKA

ISYTIHAR DARURAT DI MELAKA SEHINGGA WABAK COVID-19

BENAR-BENAR TERKAWAL DAN PILIHAN RAYA SELAMAT DIADAKAN

Parti Pejuang Tanahair mendesak Kerajaan Persekutuan campur tangan dalam isu Pilihan raya Negeri Melaka dengan mendapatkan perkenan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong untuk mengisytihar darurat di Negeri Melaka sehingga keadaan penularan wabak Covid-19 sudah ditentukan terkawal dan pilihan raya boleh dilaksanakan dengan selamat.

Walaupun bagi sesetengah pihak perubahan Kerajaan Negeri Melaka itu dianggap penting, pembubaran Dewan Undangan Negeri dan perolehan mandat baharu daripada rakyat melalui pilihan raya negeri juga dianggap penting, namun yang lebih penting ialah nyawa rakyat yang mungkin terancam jika jangkitan Covid-19 menjadi tidak terkawal seperti yang berlaku pada Pilihan raya Negeri Sabah.

Satu nyawa sekalipun terlalu berharga untuk dikorbankan untuk mengatasi kemelut politik dalaman UMNO yang telah mencetuskan keadaan kucar-kacir di Melaka kini. Keselamatan dan kepentingan rakyat tidak boleh sama sekali dijadikan taruhan dalam caturan politik dan rebutan kuasa.

Hakikatnya, rata-rata rakyat di Melaka menolak pilihan raya negeri di saat mereka baru saja cuba bangkit dari pelbagai sekatan akibat pandemik Covid-19. Mereka baru hendak membina semula kehidupan, mencari rezeki untuk kelangsungan hidup. Jangan nanti mereka seperti dipaksa dan terpaksa keluar mengundi, malah lebih buruk lagi jika mereka memboikot pilihan raya negeri tersebut.

Sepatutnya kepentingan rakyat pada ketika melalui fasa pemulihan pandemik Covid-19 ini tidak direncamkan dengan mengadakan pilihan raya negeri. Oleh itu, Kerajaan Persekutuan sepatutnya mengambil perhatian yang serius akan kesan jika berlakunya pilihan raya negeri ini.

Dengan penuh hormat dan takzimnya, Pejuang merafak sembah memohon perkenan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong untuk mengisytiharkan darurat di Negeri Melaka dan melantik Setiausaha Kerajaan Negeri Melaka untuk mengetuai “Caretaker Government” sehingga tarikh yang dirasakan sesuai.

Dato’ Seri Utama Mukhriz Tun Mahathir

Presiden Pejuang

Hari Sabtu, 9hb Oktober 2021