Friday, 26, April, 2024
Utama Negeri Pelajar cemerlang Padang Terap terima sumbangan bantuan ke IPT

Pelajar cemerlang Padang Terap terima sumbangan bantuan ke IPT

oleh Ammar Haziq
Mahdzir (tengah).

KENYATAAN MEDIA

DATO’ SERI MAHDZIR KHALID
MENTERI PEMBANGUNAN LUAR BANDAR

PELAJAR CEMERLANG PADANG TERAP TERIMA SUMBANGAN BANTUAN KE IPT

PADANG TERAP, 3 Okt. – Kejayaan anak-anak warga Padang Terap melanjutkan pengajian ke Institusi Pengajian Tinggi (IPT), menerima penghargaan menerusi sumbangan bantuan daripada Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid.

Seramai 376 pelajar cemerlang itu akan melanjutkan pengajian ke pelbagai IPT di seluruh negara bagi sesi kemasukan tahun 2021.

Majlis simbolik penyerahan sumbangan bantuan itu disempurnakan oleh Datuk Seri Mahdzir di Kampung Padang Kerasak, di sini hari ini.

Turut hadir, Timbalan Ketua UMNO Bahagian Padang Terap, Datuk Seri Ghazali Ibrahim, Ketua Wanita, Arfah Ariffin, Ketua Pemuda, Jasnizam Husni dan Ketua Puteri, Yusnaliza Ahmad.

Dalam ucapannya, Datuk Seri Mahdzir yang juga Ahli Parlimen Padang Terap berkata, anak-anak warga Padang Terap telah membuktikan kemampuan mereka dalam pendidikan dengan kejayaan menjawat pelbagai jawatan dalam sektor awam dan swasta.

“Sejak 16 tahun lalu program sumbangan bantuan ini dilaksanakan, saya dapati sudah ramai anak-anak warga Padang Terap yang melanjutkan pengajian ke IPT dan telah berjaya dalam pelbagai bidang pekerjaan dalam syarikat swasta dan juga perkhidmatan awam”.

Kejayaan itu katanya, sekaligus dapat mengubah taraf hidup ibu bapa dan keluarga pelajar terbabit.

“Itulah sebenarnya matlamat kerajaan dalam menyediakan kemudahan pendidikan tinggi untuk rakyat supaya apabila taraf pendidikan rakyat meningkat, ianya sekaligus akan meningkatkan juga taraf kehidupan rakyat, kerana menerusi pendidikan sahajalah akan mengubah nasib seseorang”, katanya.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com