Saturday, 27, April, 2024
Utama Negeri Penambahan bas Mara Liner tingkat mutu pengangkutan luar bandar

Penambahan bas Mara Liner tingkat mutu pengangkutan luar bandar

oleh Ammar Haziq
Mahdzir (tengah) hadir menyerahkan bas baharu MARA Liner di Kuala Nerang pada hari ini.

Kuala Nerang, 2 Okt 2020 – Menteri Pembangunan Luar Bandar, YB
Dato’ Seri Mahdzir Bin Khalid hadir ke sesi Penyerahan Bas Baharu
MARA Liner. Penambahan dua buah bas baharu ini dijangka memberi
manfaat kepada lebih 200 ribu penduduk Kuala Nerang dalam
memastikan masyarakat luar bandar turut diberikan perkhidmatan
pengangkutan awam setanding dengan kawasan bandar.


MARA meneruskan usaha menambah baik operasi MARA Liner di luar
bandar dengan menyediakan dua (2) buah bas baharu bagi laluan
Kuala Nerang – Terminal Bas Naka dan tambahan satu (1) buah bas
ekspres baharu bagi laluan Kuala Nerang – Pendang – Kuala Lumpur.


Ini adalah untuk menambah kapasiti perkhidmatan sedia ada yang
mana kini sebanyak 16 buah bas henti-henti sedang beroperasi di
daerah ini meliputi lapan (8) laluan.


Walaupun berhadapan dengan penurunan jumlah penumpang pada
tahun 2020 dan 2021 disebabkan krisis COVID-19, MARA masih
mengekalkan perkhidmatan bas dengan mengoperasikan semua
laluan tanpa mengurangkan trip harian kepada penduduk di sekitar
Kuala Nerang.


Sebagai makluman Bengkel MARA Liner Kuala Nerang yang telah
berusia hampir 30 tahun ini juga akan dinaiktaraf dengan peruntukan
RM500 ribu dan kerja-kerja tersebut akan dimulakan dalam waktu
terdekat.

Di samping itu, MARA turut membina sebuah bengkel baharu
di Serdang, Kedah dengan peruntukan sebanyak RM3.5 juta dan
proses pembinaan dijangka akan bermula pada tahun hadapan.

Usaha berterusan ini fokus dalam melengkapkan kemudahan prasarana yang
lebih baik untuk memberi perkhidmatan pengangkutan awam yang
sempurna, selesa dan selamat kepada masyarakat setempat.


Dalam perkembangan lain, MARA Liner turut menyediakan
perkhidmatan bas ekspres ke destinasi projek rintis gelembung
pelancongan (Travel Bubble) sebagai sokongan terhadap projek
tersebut di bawah inisiatif Kementerian Pelancongan, Kesenian dan
Kebudayaan Malaysia.


Untuk memastikan keselamatan penumpang, kesemua pemandu bas
MARA Liner bagi perkhidmatan bas ekspres dan bas henti-henti telah
lengkap divaksinasi sekaligus menyokong usaha kerajaan dalam
mencapai sasaran imuniti kelompok.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com