Tuesday, 23, April, 2024
Utama Negeri Remaja meninggal dunia akibat vaksin di Baling tidak benar

Remaja meninggal dunia akibat vaksin di Baling tidak benar

oleh Ammar Haziq

KENYATAAN MEDIA

JABATAN KESIHATAN NEGERI KEDAH

VIDEO TULAR REMAJA MENINGGAL DUNIA AKIBAT DICUCUK VAKSIN DI BALING ADALAH TIDAK BENAR

Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Kedah ingin merujuk kepada berita yang tular dalam media sosial baru-baru ini berkaitan seorang pelajar perempuan di daerah Baling yang meninggal, dikaitkan dengan suntikan vaksin COVID-19. JKN Kedah telah membuat siasatan segera mengenai perkara ini dan mendapati ianya adalah tidak benar.

Hasil siasatan mendapati, arwah merupakan seorang remaja lepasan SPM, yang bukan lagi pelajar sekolah. Beliau telah menerima satu (1) dos suntikan vaksin COVID-19 pada 5 September 2021 di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Dewan Tun Abdul Razak, Baling. Beliau ada mengadu sakit perut pada 19 September 2021 dan telah diberi rawatan di Hospital Baling. Namun begitu 20 hari selepas divaksin iaitu pada 25 September 2021, beliau dibawa ke Hospital Baling kerana tidak sedarkan diri. Tahap kesihatan beliau cepat merudum dan kemudiannya disahkan meninggal dunia.

Setelah itu jenazah telah dibawa ke Hospital Sultanah Bahiyah untuk bedah siasat. Hasil bedah siasat mendapati arwah meninggal dunia disebabkan ruptured thoracic aneurysm dan tiada kaitan dengan suntikan vaksin COVID-19. Laporan penuh bedah siasat sedang disediakan.  

Jabatan ini mengucapkan takziah kepada keluarga arwah atas kehilangan ini.

Jabatan ini ingin menasihati masyarakat umum agar elakkan mempercayai serta menyebarkan berita yang tidak disahkan dan dapatkan maklumat yang sahih berkaitan COVID-19 serta vaksin COVID-19.

Sekian, terima kasih.

DR. OTHMAN BIN WARIJO

PENGARAH KESIHATAN NEGERI KEDAH

01 OKTOBER 2021

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com