Friday, 26, April, 2024
Utama Negeri JKNK siasat empat dewasa, tiga bayi terperangkap dalam lif

JKNK siasat empat dewasa, tiga bayi terperangkap dalam lif

oleh Ammar Haziq
FOTO BBP ALOR SETAR
FOTO BBP ALOR SETAR

KENYATAAN MEDIA
JABATAN KESIHATAN NEGERI KEDAH
KENYATAAN TULAR: BAYI TERPERANGKAP DALAM LIF MAINTENANCE TAK ADA KUNCI LIF


Berikutan kenyataan yang tular dalam media sosial pada pagi 24 September 2021 mengenai kejadian mangsa terperangkap dalam lif di Klinik Kesihatan Bandar Alor Setar.

Jabatan Kesihatan Negeri Kedah telah membuat siasatan awal berkaitan insiden ini.
Kejadian berlaku lebih kurang jam 9.05 pagi pada 24 September 2021. Mangsa seramai 7 orang (3 perempuan, 3 bayi dan seorang lelaki) telah terperangkap di dalam lif dan siasatan awal mendapati berlaku masalah teknikal kepada sistem lif tersebut.

Kejadian disedari oleh Pengawal Keselamatan yang bertugas setelah penggera keselamatan lif berbunyi. Pengawal Keselamatan tersebut terus mendekati pintu lif dan mendapati ada mangsa yang terperangkap di dalam lif.

Beliau telah berkomunikasi dengan mangsa yang terperangkap bagi mengenal pasti keadaan mangsa dan meminta mangsa bertenang sebelum bantuan tiba. Pihak klinik telah membuat aduan segera kepada pihak syarikat konsesi penyelenggaraan yang telah dilantik.


Pada lebih kurang jam 9.12 pagi, pihak syarikat konsesi penyelenggaraan telah mendapat aduan dan juruteknik bertugas terus menghubungi syarikat lif berkompeten yang telah dilantik dan terus bergegas ke tempat kejadian. Pihak juruteknik syarikat lif berkompeten dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) telah tiba pada masa yang sama lebih kurang jam 9.23 pagi.

Maklumat mendapati salah seorang mangsa yang terperangkap juga telah menghubungi pihak Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) untuk mendapatkan bantuan kecemasan.


Pada lebih kurang jam 9.33 pagi, pintu lif telah berjaya dibuka dan semua mangsa terlibat seramai 7 orang (3 perempuan, 3 bayi dan seorang lelaki) telah selamat dikeluarkan.

Terdapat seorang mangsa berada dalam keadaan cemas dan bantuan telah diberikan oleh pegawai perubatan yang bertugas di Klinik Kesihatan Bandar Alor Setar. Mangsa kembali stabil dan dibenarkan pulang. Pada lebih kurang jam 10.30 pagi, semua pihak telah bersurai.


Jabatan ini memohon maaf atas insiden yang berlaku dan akan melakukan siasatan terperinci berkaitan isu berbangkit. Pada masa kini, lif tersebut telah dihentikan penggunaan serta merta sehingga siasatan teknikal selesai serta disahkan selamat digunakan.


Sekian, terima kasih.


DR. OTHMAN BIN WARIJO
PENGARAH KESIHATAN NEGERI KEDAH
25 SEPTEMBER 2021

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com