Friday, 29, March, 2024
Utama Negeri Pulau Pinang hak milik Kedah yang sah sehingga kini – PSMCK

Pulau Pinang hak milik Kedah yang sah sehingga kini – PSMCK

oleh Ammar Haziq

KENYATAAN MEDIA PSMCK

TENTANG SEJARAH HUBUNGAN KEDAH-PULAU PINANG

Hari Jumaat, 24 September 2021, 11.00 pagi

ZOOM Meeting

  1. Pada 21 September 2021 yang lalu, Yang Amat Berhormat Tuan Haji Muhammad Sanusi Bin Md Nor, Menteri Besar Kedah telah mengeluarkan  kenyataan semasa sidang Dewan Undangan Negeri Kedah, bahawa Pulau Pinang adalah sebuah negeri yang ‘dipajak’ daripada Kedah.
  • Persatuan Sejarah Malaysia Cawangan Kedah (PSMCK) menyambut baik dan menyokong kenyataan beliau ini serta berpandangan bahawa isu hubungan Kedah-Pulau Pinang harus dibincangkan dengan lebih serius dengan melibatkan pelbagai pihak.
  • PSMCK ingin memetik suatu kenyataan yang dibuat dalam buku sejarah Kedah oleh R. Bonney (1971) berjudul Kedah 1771-1821 – The Search for Security and Independent (muka surat 76-77).

Katanya …..”bercanggah dengan kefahaman lama yang mengelirukan, Pulau Pinang sebenarnya tidak pernah dipajak atau dikurniakan mahupun diserahkan melalui apa-apa triti atau perjanjian yang bertulis. Sultan Abdullah hanya memberi kebenaran sementara kepada Light untuk menduduki Pulau Pinang sehingga suatu masa apabila diterima jawapan yang tetap daripada pihak East India Company. Tidak ada triti, persetujuan atau perjanjian bertulis untuk perkara tersebut, atau untuk perkara itu, tiada sebarang deraf yang pernah dibuat, atau bermaksud untuk penyerahan sebarang wilayah, juga tidak ada bukti atau rujukan dokumen dalam mana-mana rekod. Pulau Pinang adalah sebahagian daripada Kedah seperti mana yang diketahui oleh East India Company sendiri dan Light menggunakan nama King George III Raja England untuk mengambil Pulau Pinang pada 11 Ogos 1786, Light bukan sahaja melanggar undang-undang antarabangsa menurut piawai orang Eropah malah telah menipu Sultan Abdullah juga. Dia melakukan itu tanpa melalui sebarang perjanjian atau triti yang betul dan rasmi, tanpa ada jawapan yang sempurna kepada syarat-syarat yang telah ditetapkan oleh Sultan Abdullah dan baginda dengan berpengetahuan penuh telah membenarkan Pulau Pinang diduduki atas asas sementara berpandukan kepada keputusan East India Company sebagai balasan memberikan perlindungan, dan dengan kefahaman Sultan Abdullah sekiranya perlindungan ini tidak diberikan, baginda akan membatalkan perjanjian itu. Justeru, pengisytiharan Pulau Pinang sebagai milik British adalah merupakan suatu jenayah kerana tidak pernah diberikan sebarang kebenaran lisan atau bertulis, dan bahawa sebenarnya Kompeni telah mencerobohi dan menduduki wilayah Kedah secara haram”.

  • Berpandukan kepada hujah Bonney di atas, didapati tidak ada satu pun perjanjian yang sah antara negeri Kedah dengan mana-mana pihak berhubung dengan pendudukan Pulau Pinang.
  • Berdasarkan hujah-hujah di atas, PSMCK mengambil pendirian menyokong kenyataan YAB Menteri Besar Kedah bahawa Pulau Pinang adalah hakmilik Kedah yang sah sehingga kini.
  • Berkaitan dengan perkara ini, pihak PSMCK mendesak supaya kerajaan negeri Kedah mengadakan suatu perbincangan yang serius dengan kerajaan Pusat ke arah mengadakan suatu persefahaman yang baru dengan mengambil kira kadar bayaran tahunan yang baru dan merangkumi tempoh masa bagi sesuatu persefahaman yang dicapai.
  • Pihak PSMCK mencadangkan naratif sejarah berkenaan kedudukan Pulau Pinang perlu diperbetulkan supaya semua pihak memahami keadaan sebenar berkaitan sejarah hubungan Kedah-Pulau Pinang, yang menurut Bonney (1971: 77) telah dipesongkan oleh Winstedt. Maka suatu kajian yang serius mestilah diusahakan dengan lebih jitu dalam memperbetulkan perkara ini.

PERSATUAN SEJARAH MALAYSIA CAWANGAN KEDAH

24 SEPTEMBER 2021

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com