Saturday, 27, April, 2024
Utama Negeri Empat nelayan terselamat bot karam

Empat nelayan terselamat bot karam

oleh Ammar Haziq
Bot karam di sekitar 0.1 batu nautika, timur laut, Pulau Balar, Langkawi sekitar jam 7.00 malam, semalam.

LANGKAWI, 17 September – Maritime Rescue Sub-Centre (MRSC) Langkawi telah mengaktifkan Operasi Mencari dan Menyelamat (CARILAMAT) bagi mengesan sebuah bot fiber bersama empat nelayan yang dilaporkan karam setelah terlanggar satu objek di kedudukan sekitar 0.1 batu nautika, timur laut, Pulau Balar, Langkawi sekitar jam 7.00 malam, semalam.

Maklumat insiden diterima melalui pangilan telefon oleh orang awam kepada MRSC Langkawi.

Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Maritim Negeri Kedah dan Perlis, Laksamana Pertama Maritim Mohd Zawawi bin Abdullah berkata, Kapal Maritim (KM) Tenggol dan bot ronda PERKASA 1225 telah diatur gerak bagi operasi CARILAMAT sebaik sahaja menerima laporan daripada MRSC Langkawi berkaitan kejadian.

Maklumat kejadian juga turut disalurkan kepada agensi sahabat seperti Polis Diraja Malaysia, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Angkatan Pertahanan serta komuniti nelayan setempat.

Terdahulu, tekong Mohd Yusoff bin Nawi, 57, bersama tiga rakannya keluar ke laut pada jam 6.00 petang semalam bagi mencandat sotong.

Ketika dalam perjalanan, bot mereka terlanggar satu objek dipercayai bongkah kayu yang hanyut dan menyebabkan bot mengalami kebocoran seterusnya karam.

Tekong bertindak berenang ke daratan berhampiran bagi mendapatkan liputan komunikasi untuk mendapatkan bantuan. Manakala tiga lagi rakannya berpaut di batu berhampiran bot mereka yang tenggelam.

Sebaik bot ronda Maritim Malaysia tiba di lokasi kejadian, sebuah bot nelayan lain turut berada di kawasan kejadian bagi membantu mangsa bot karam terbabit selepas menerima maklumat yang disalurkan kepada komuniti maritim berkaitan kejadian.

Kesemua kru berusia lingkungan 34 hingga 59 tahun itu dibawa menaiki bot PERKASA 1225 serta turut diberi rawatan awal kepada mangsa yang cedera dan kesemua dibawa ke Jeti Maritim Malaysia Bukit Malut, Langkawi.

Rawatan awal diberikan kepada mangsa yang cedera dan kesemua dibawa ke Jeti Maritim Malaysia Bukit Malut, Langkawi.

Operasi CARILAMAT ditamatkan pada jam 11.00 malam oleh MRSC Langkawi.

Maritim Malaysia mengingatkan kepada semua komuniti maritim agar sentiasa memeriksa laporan kaji cuaca dan membekalkan peralatan keselamatan yang mencukupi sebelum turun ke laut. Maritim Malaysia juga mengalu-alukan maklumat daripada seluruh komuniti maritim untuk melaporkan sebarang kecemasan di laut secara terus ke talian Pusat Operasi Maritim Negeri Kedah dan Perlis 04-9662750 atau MERS 999.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com