Saturday, 20, April, 2024
Utama Negeri PAUT agih bantuan RM30,000 kepada mangsa kepala air

PAUT agih bantuan RM30,000 kepada mangsa kepala air

oleh Ammar Haziq
Ketua Program Bantuan Mangsa Tragedi Kepala Air Gunung Jerai, Datuk Subhi Dziyauddin (kanan) menyerahkan bantuan kepada mangsa yang terjejas akibat fenomena kepala air di Kampung Pondok Batu Hampar, Merbok.

KUALA MUDA:Persatuan Alumni Universiti Texas (PAUT) mengagihkan sumbangan kepada 160 keluarga yang terkesan akibat fenomena kepala air pada 18 Ogos lalu.

Ketua Program Bantuan Mangsa Tragedi Kepala Air Gunung Jerai, Datuk Subhi Dziyauddin, berkata pihaknya memperuntukkan kira-kira RM30,000 menerusi Tabung Prihatin PAUT bagi mengagihkan barangan berupa periuk nasi elektrik, dapur gas dan makanan asas.

“Semalam kita menyerahkan bantuan kepada 60 keluarga fenomena kepala air di Yan, hari ini kita serahkan lagi kepada 100 keluarga di Merbok di Kampung Pondok Batu Hampar, Kampung Bendang Dalam, Kampung Bujang, Kampung Padang Tok Suara dan Taman Tupah.

“Pemilihan ini dilakukan berdasarkan keluarga yang betul-betul terkesan dalam kejadian fenomena kepala air hampir dua minggu lalu, kita difahamkan banyak peralatan rumah mereka rosak ditenggelami air.

“Kita harap bantuan ini sedikit sebanyak dapat membantu meringankan beban mereka dan memberi semangat untuk mereka meneruskan kelangsungan hidup,”katanya ketika ditemui selepas menyerahkan sumbangan berkenaan di Kampung Pondok Batu Hampar, Merbok di sini.

Sementara itu, seorang penerima Yusri Omar,56, berkata dia sangat berterima kasih kepada PAUT kerana prihatin dengan nasib penduduk yang terjejas.

Katanya, kejadian fenomena kepala air yang berlaku sangat memberi kesan kepadanya apabila banyak perabot dan peralatan di dalam rumah rosak ditenggelami air hampir satu meter.

“Alhamdulillah, terima kasih kepada PAUT kerana sudi memberi sumbangan kepada kami di sini, sejak lahir saya tinggal di sini, ini lah kejadian kepala air paling teruk saya alami.

“Penat lelah membersihkan rumah sedikit terubat dengan bantuan yang kami terima daripada orang ramai dan badan bukan kerajaan seperti PAUT,”katanya yang merupakan pesara tentera.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com