MB Kedah jawab PBAPP, KXP tidak jejaskan kualiti Sungai Muda

86
Projek KXP yang berdekatan Sungai Muda tidak akan menjejaskan kualiti sungai tersebut selepas langkah-langkah mitigasi telah dicadangkan berdasarkan Best Management Practices (BMPs). Gambar kecil : Muhammad Sanusi.

KENYATAAN MEDIA YAB MENTERI BESAR

KEDAH DARUL AMAN

Menjawab kenyataan Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) bertarikh 23 Ogos 2021 bertajuk ‘Cadangan Projek Lapangan Terbang Kulim Tidak Harus Menjejaskan Bekalan Air di Pulau Pinang.

1.Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) dan PBA Holdings Sdn. Bhd. Dato’ Ir. Jaseni Maidinsa pada 23 Ogos lalu membuat satu kenyataan media bertajuk ‘Cadangan projek Lapangan Terbang Kulim tidak harus menjejaskan bekalan air di Pulau Pinang’.

2.Kenyataan ini saya terima sebagai bukan daripada PBAPP atau PBA Holdings Sdn. Bhd.  semata-mata tetapi juga adalah ‘suara’ Kerajaan Negeri Pulau Pinang.

3.   Sebelum melanjutkan kenyataan ini, saya ingin ‘menghargai’ PBAPP kerana secara terbuka mengaku menerusi kenyataan media itu bahawa mereka telah mengabstrak lebih 80% air mentah yang diperlukan oleh Pulau Pinang setiap hari daripada Sungai Muda yang berpunca dan mengalir dari wilayah di dalam Negeri Kedah.

4.   Dalam kenyataan yang sama, PBAPP juga mengakui bahawa lebih 80% daripada bekalan air terawat untuk kegunaan seluruh Negeri Pulau Pinang adalah air mentah yang dirawat di LRA Sungai Dua.

5.   Kita maklum bahawa air yang dirawat di LRA Sungai Dua adalah air mentah yang diabstrak daripada Sungai Muda yang mengalir dari Negeri Kedah. 

6.   Kenyataan itu secara jelas menunjukkan bahawa PBAPP dan Kerajaan Negeri Pulau Pinang sememangnya sedar bahawa mereka bergantung hampir sepenuhnya pada bekalan air mentah daripada sumber yang berpunca dari Negeri Kedah.

7.   Untuk makluman semua, berdasarkan rekod Lembaga Sumber Air Negeri Kedah (LSANK), Pulau Pinang menggunakan 1.1 juta liter padu air sehari yang diabstrak daripada Sungai Muda.

8.   Ini jauh lebih tinggi berbanding hanya 800,000 liter padu air sehari yang digunakan oleh rakyat Kedah sendiri.

9.   Sungai Muda berpunca dari Negeri Kedah, dan 95% daripada sungai itu mengalir di dalam Negeri Kedah yang menyebabkan Kerajaan Negeri Kedah menanggung kos memulihara serta pelbagai kos yang berkaitan dengannya.

10. Bagaimanapun statistik kepenggunaan menunjukkan Pulau Pinang menggunakan 56% daripada air Sungai Muda berbanding hanya 44% oleh penduduk Negeri Kedah.

11. Mengikut prinsip hak riparian antarabangsa, had penggunaan air daripada sesuatu sumber yang mengalir di antara negeri/ negara, adalah mengikut keluasan kawasan tadahan dan lembangan sungai yang dimiliki. Dalam konteks ini, Pulau Pinang mengikut undang-undang riparian berhak untuk menggunakan hanya 5% sahaja daripada air Sungai Muda.

12. Untuk kegunaan domestik Negeri Kedah, Syarikat Air Darul Aman (SADA) milik Kerajaan Negeri Kedah membayar kepada LSANK mengikut Enakmen Sumber Air Negeri Kedah 2008 dan juga Akta Industri Perkhidmatan Air 2006.

13. Sejak 10 tahun lalu, sudah banyak kali surat dihantar kepada Kerajaan Pulau Pinang menuntut bayaran mengikut undang-undang pada kadar 10 sen seliter padu.

14. Namun, mereka bukan sahaja enggan membayar malah tidak pernah menjawab surat-surat berkenaan.

15. Ini menunjukkan betapa angkuh dan sombong pemimpin Kerajaan Pulau Pinang dan PBAPP sejak dahulu hingga sekarang.

16. Pada masa yang sama, mereka tidak pernah berasa malu pula untuk mempersoalkan, membantah serta mencetuskan kacau ganggu yang berterusan terhadap hak-hak Kerajaan Negeri Kedah untuk melaksanakan projek-projek bagi kemajuan rakyat dan negeri di dalam wilayahnya yang berdaulat.

17. Ini termasuk projek Lapangan Terbang Antarabangsa Kulim (KXP) yang sejak awal perancangannya telah dipertikaikan dan dibantah oleh pemimpin Kerajaan Pulau Pinang.

18. Bagi menjawab persoalan PBAPP terhadap kemungkinan projek KXP akan menjejaskan air Sungai Muda, Laporan Penilaian Kesan Alam Sekitar (EIA) bagi projek KXP dan Kedah Aerotropolis telah dikemukakan kepada Jabatan Alam Sekitar (JAS) Putrajaya untuk penilaian.

19. Proses seterusnya, laporan ini perlu dipamerkan secara umum bagi membolehkan orang awam untuk mengemukakan ulasan dan pandangan terhadap projek ini. Orang ramai boleh menyemak Laporan EIA ini bermula 16 Ogos 2021 hingga 14 September 2021.

Laporan ini juga boleh diakses melalui laman web JAS dan juga Majlis Perbandaran Sungai Petani Kedah (MPSPk).. Selain itu, laporan EIA juga boleh disemak secara fizikal di JAS Putrajaya, JAS Negeri Kedah dan Juga MPSPk.

20.Laporan Penilaian Impak Alam Sekitar (EIA) untuk Projek Pembangunan Lapangan Terbang Antarabangasa Kulim (KXP) dan Kedah Aerotropolis disediakan berdasarkan akta-akta serta peraturan-peraturan yang telah ditetapkan oleh jabatan-jabatan teknikal dan disokong oleh pelan-pelan strategik konsep kejuruteraan.

21.Keseluruhan aspek alam sekitar telah dikaji dengan teliti di mana pelbagai metodologi saintifik telah digunakan untuk memastikan kesemua impak terhadap alam sekitar diambil kira dalam kajian ini.

22.Berdasarkan impak alam yang sekitar yang telah dikenal pasti, langkah-langkah mitigasi telah dicadangkan berdasarkan Best Management Practices (BMPs) yang terdapat dalam sektor industri sekarang supaya air sungai dan alam sekitar tidak terjejas serta dapat mengekalkan status quo.

23.Berdasarkan Laporan EIA, timbunan tanah, simen dan pasir adalah sumber pencemaran kepada sungai jika terdapat sesebuah pembangunan terletak berhampiran dengan laluan air.

24.Bagaimanapun, langkah-langkah mitigasi telahpun disyorkan dalam laporan EIA untuk memastikan penggerak projek ataupun pihak kontraktor tidak meyebabkan pencemaran terhadap aliran sungai yang berdekatan.

25.Laporan Land Disturbing Pollution Prevention and Mitigation Measures (LDP2M2) yang disediakan untuk projek ini menyatakan bahawa semua timbunan perlu ditempatkan sekurang-kurangnya dalam jarak 20 meter dari tebing Sungai Jerong dan 50 meter dari tebing Sungai Muda,

26.Semua pihak yang terlibat akan dipastikan mematuhi Garis Panduan Pembangunan Sungai Dan Rezab Sungai oleh JPS. Syarat-syarat yang dinyatakan itu bukan sahaja terhad pada Sungai Muda atau Sungai Jerong tetapi juga semua sistem aliran air yang terdapat dalam lokasi projek adalah mengikut Garis Panduan MSMA oleh yang dikeluarkan oleh JPS.

27.Semua timbunan akan dilitupi atau ditutup dengan kepingan terpal (tarpaulin), selimut hakisan, tanaman penutup dan penyemaian rumput. Pagar kelodak (silt fence) juga akan dipasang di sepanjang kawasan timbunan untuk memberikan perlindungan tambahan serta pengasingan punca pencemaran.

28.Selain itu, kualiti air Sungai Muda juga tidak akan terjejas kerana kolam dan pagar kelodak akan dibina di sepanjang kawasan yang bersempadanan. Ini termasuk dalam zon penampan dengan Sungai Muda bagi memastikan kualiti air sungai tidak terjejas. Jarak paling hampir zon pembangunan lapangan terbang dengan Sungai Muda adalah sejauh 500 meter berbanding dengan garis panduan yang mana zon penampan minimum yang diperlukan adalah sejauh 50 meter sahaja dari tebing sungai.

29.Turut ditunjukkan dalam dokumen LDP2M2 adalah kolam kelodak (silt pond) yang akan dibina untuk memastikan kelodak tidak memasuki aliran Sungai Muda.

30.Kenyataan-kenyataan ini disokong oleh kajian pemodelan kualiti air yang telah dijalankan untuk projek ini. Berdasarkan Laporan EIA, kajian mendapati impak terhadap Sungai Muda adalah tidak signifikan serta boleh diabaikan kerana kualiti air adalah tetap sama seperti kualiti sedia ada apabila langkah-langkah mitigasi yang disyorkan diaplikasi di tapak projek.

31.Dengan ini, jika pihak Kerajaan Pulau Pinang mahupun PBAPP terus menyuarakan kebimbangan yang sama, kebimbangan itu boleh dianggap tidak berasas atau sengaja direka-reka bertujuan untuk mencetuskan kacau ganggu atau sengaja untuk memberikan persepsi buruk orang awam terhadap projek KXP.

32.Dalam fasa operasi, sistem pengurusan yang akan digunapakai ialah Aircraft Waste Management: Sistem pengurusan sisa cecair dan sisa pepejal pesawat akan disediakan bawah pembangunan lapangan terbang dan tidak akan melibatkan pelepasan secara terus ke dalam sistem perparitan yang mengalir ke sungai. Rekabentuk pengurusan sisa pesawat adalah mematuhi International Civil Aviation Organization (ICAO) Eco Toolkit yang merupakan garis panduan utama untuk pembangunan lapangan terbang. Projek ini juga akan menerapkan konsep ‘lapangan terbang hijau’ yang akan mengaplikasikan amalan kitar semula. Sejajar dengan ini, sisa pepejal yang dihasilkan di lapangan terbang akan dikendalikan secara berpusat untuk pengumpulan dan pengangkutan. Pengurusan sisa pepejal dalam kawasan lapangan terbang akan menggunakan teknologi pengurusan sisa terkini. Kawasan simpanan pusat akan mempunyai saluran air perlindungannya sendiri untuk memastikan tiada saluran terus ke saluran stormwater.

33.Sebagai good-housekeeping operasi lapang terbang akan memastikan pematuhan untuk pengendalian air larian permukaan. Semua limpasan permukaan di lapangan terbang akan disalurkan ke perangkap minyak untuk membuang minyak permukaan sebelum mengalir ke kolam penahanan dalam pembangunan.

34.Untuk sebarang pelepasan, kesemua langkah mitigasi diambil kira dan dilaksanakan. Tiada sisa cecair atau pepejal daripada Menara pendinginan lapangan terbang akan dialirkan secara terus ke Sungai Muda hingga boleh menyebabkan pencemaran kualiti air.

35.SLAM Industrial Hub: Semua sisa industri dari aktiviti di hab SLAM akan dirawat sebelum dilepaskan ke Sungai Muda di setiap lot industri. Pelepasan effluent daripada industri hendaklah mendapat kelulusan dan menepati kriteria yang ditetapkan Jabatan Alam Sekitar (JAS).

36.Kualiti Air Sungai Muda juga tidak akan terjejas akibat pelepasan STP (sawage treatment plant) sekiranya mitigasi yang telah disyorkan dalam Laporan EIA diambil kira. Kebanyakan impak yang dinyatakan adalah kerana kajian ini telah dijalankan dengan teliti agar langkah-langkah mitigasi yang sesuai dengan projek dapat disediakan dan dilaksanakan.

37.Mengenai kebersihan air di muka sauk Lahar Tiang seperti yang dibangkitkan, kajian pemodelan kualiti air menunjukkan bahawa air di muka sauk Lahar Tiang tidak akan terjejas ketika fasa pembinaan dan fasa operasi selagi kesemua langkah mitigasi dilaksanakan.

38.Penialaian di atas diterbitkan dalam Laporan EIA yang disiapkan oleh perunding EIA yang ditugaskan oleh KXP AirportCity Holdings Sdn Bhd.

39.Agak menarik perhatian saya apabila Pulau Pinang mmembangkitkan isu kebersihan air Sungai Muda sedangkan Sungai Perai, Sungai Pinang dan Sungai Juru yang sepenuhnya terletak di dalam negeri ini termasuk dalam senarai antara sungai paling teruk tercemar di negara ini.

40.Pemimpin Pulau Pinang bukan sahaja seperti ‘ketam mahu mengajar anak berjalan betul’ bahkan seperti tidak ada rasa malu untuk bercakap mengenai suatu topik yang sebenarnya boleh menempelak ke muka  mereka sendiri.

41.Mereka sebaliknya berbangga dengan air Sungai Muda yang dikatakan sebagai air terawat paling bersih di negara ini dalam keadaan mereka sendiri seperti sengaja ‘buat-buat tidak tahu’ bahawa 95% daripada tadahan air Sungai Muda adalah di dalam Negeri Kedah, di mana kerajaan dan rakyat Kedah berkorban menjaga hutan tadahan yang Pulau Pinang sendiri enggan bayar malah tidak pernah membayar waima satu sen pun untuk memastikan kelestarian Hutan Simpan Ulu Muda di mana sungai itu bermula.

42.Kenyataan media PBAPP bagi saya tidak berasaskan kerana mereka seperti sengaja hendak mencetuskan keraguan dan kebimbangan terhadap perkara yang belum berlaku sedangkan di pihak kami, setiap perkara diuruskan dengan mematuhi undang-undang termasuk yang berkaitan dengan alam sekitar.

43.Adalah tidak munasabah dan melampaui batas bagi PBAPP untuk meminta lokasi KXP diubah hanya kerana ketakutan mereka yang tidak berasas itu.

44.Apa yang saya boleh katakan, Kerajaan Kedah tahu bagaimana hendak menguruskan tanggungjawab kami manakala di pihak mereka, sekali lagi saya tuntut mereka tunaikan tanggungjawab mereka iaitu bayar kepada rakyat Kedah untuk air yang mereka ambil dari sungai dan hutan kami.

Sekian. Terima kasih.

Salam hormat,

HAJI MUHAMMAD SANUSI MD. NOR

Menteri Besar Kedah Darul Aman

29 Ogos 2021