Saturday, 20, April, 2024
Utama Negeri Bot fiber langgar boya, mangsa ditemui meninggal dunia

Bot fiber langgar boya, mangsa ditemui meninggal dunia

oleh Ammar Haziq

LANGKAWI, 24 Ogos – Maritime Rescue Sub Centre (MRSC) Langkawi menerima maklumat daripada orang awam yang sedang menjala udang di pesisir pantai mengenai penemuan satu mayat terdampar di kawasan paya bakau di sekitar Teluk Tembun, Temoyong, Langkawi 4.30 petang semalam dalam keadaan tertirap dan masih lengkap berseluar panjang berwarna hitam ketika air laut surut.

Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Kedah dan Perlis mengesyaki mayat tersebut adalah mangsa yang hilang berikutan kejadian bot fiber terlanggar boya pagi Ahad lalu di sekitar perairan Pulau Lalang.

Pengarah Maritim Negeri Kedah dan Perlis, Laksamana Pertama Maritim Mohd Zawawi bin Abdullah berkata, Operasi Mencari dan Menyelamat (CARILAMAT) yang dikoordinasikan MRSC Langkawi telah memasuki hari kedua bagi mengesan mangsa yang hilang itu.

Mayat yang ditemui itu telah dibawa keluar dari kawasan paya bakau oleh pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba Penyelamat Malaysia (JBPM), Angkatan Pertahanan Awam (APM) bersama Maritim Malaysia menggunakan kenderaan pacuan empat roda PDRM ke kawasan jalan raya berhampiran.

Ahli keluarga mangsa yang hadir ke lokasi membuat pengecaman mayat berdasarkan pakaian dan ciri-ciri fizikal mangsa serta mengesahkan mayat berkenaan adalah Muhamad Ewandi bin Husnan yang dilaporkan hilang setelah bot dinaiki terlanggar dan mangsa serta tiga rakan tercampak ke laut.

Tiga rakan mangsa berjaya diselamatkan nelayan tempatan yang berada di sekitar lokasi, manakala mangsa hilang dan tidak ditemui sejak kejadian semalam.
Mayat kemudian diserahkan kepada pihak PDRM, seterusnya dibawa ke Hospital Sultanah Maliha untuk bedah siasat. Berikutan penemuan itu, Operasi CARILAMAT ditamatkan pada 7.00 malam.

Maritim Malaysia selaku agensi peneraju koordinasi operasi CARILAMAT merakamkan jutaan penghargaan kepada semua agensi yang terlibat.

Maritim Malaysia sentiasa mengalu-alukan maklumat daripada seluruh Komuniti Maritim untuk melaporkan sebarang kecemasan di laut secara terus ke talian Pusat Operasi Maritim Negeri Kedah dan Perlis 04-9662750 atau MERS 999.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com