KXP siap 2026, ubah Kedah jadi negeri maju

131
Sanusi (kiri) menukar memorandum persefahaman dengan Eng Chuen di Wisma PKNK, Alor Setar pada hari ini.

Impian rakyat Negeri Kedah untuk sebuah lapangan terbang antarabangsa baharu yang sudah sekian lama ditunggu – Lapangan Terbang Antarabangsa Kulim (KXP) – Insya Allah akan menjadi kenyataan dalam tempoh lima tahun lagi.

Hari ini, 2 Ogos 2021, satu perjanjian usahasama untuk merealisasikan impian itu membabitkan Kerajaan Negeri Kedah dengan pihak swasta, Kumpulan ECK (ECK), dimeterai di Wisma PKNK, Alor Setar.

Kerajaan Negeri diwakili oleh Menteri Besar merangkap Pengerusi KXP AirportCity Holdings Sdn Bhd., manakala ECK oleh Pengarah Urusan Kumpulan, Tan Sri Dato’ Dr. Khor Eng Chuen.

Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Kemajuan Negeri Kedah (PKNK), Haji Syed Yussof Syed Othman dan Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif KXP AirportCity Holdings Sdn. Bhd. (KXP AirportCity), En. Nur Salman Saad hadir menyaksikan acara bersejarah hari ini.

Menerusi perjanjian itu, sebuah Syarikat Bertujuan Khas (SPV) akan ditubuhkan sebagai pemilik dan pemaju projek KXP.

Sebanyak 80 peratus pegangan ekuiti dalam SPV berkenaan dimiliki oleh ECK manakala bakinya Kerajaan Negeri menerusi syarikat subsidiari PKNK, KXP AirportCity.

Bagi pihak Kerajaan Negeri, saya mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada ECK yang sudi menerima jalinan usahasama dengan Kerajaan Negeri merealisasikan projek mega yang begitu bermakna bagi Negeri Kedah dan seluruh rakyatnya.

Dalam jangkaan kami, projek KXP akan dapat disiapkan sepenuhnya menjelang tahun 2026 dan setelah itu, insya Allah kita akan dapat melihat perubahan yang cukup besar dari segi lanskap ekonomi Negeri Kedah.

KXP akan memainkan peranan utama dalam beberapa cabang industri penerbangan serantau termasuk sebagai hab industri halal dan e-dagang bagi rantau ASEAN, produk farmasi dan juga pelbagai kategori kargo. 

Lapangan terbang ini juga akan dijadikan hab baik pulih industri penerbangan dan pusat operasi bencana serantau berdasarkan kedudukannya di tengah-tengah rantau Asia Tenggara.

Saya yakin, apa yang akan jadi berita baik bagi penduduk Negeri Kedah dan juga wilayah Utara yang lain ialah KXP akan jadi hab penerbangan haji dan umrah khususnya bagi penduduk Utara Semenanjung.

Dari segi ekonomi, Kerajaan Negeri optimis KXP mampu menjana peningkatan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) bagi Negeri Kedah yang diunjurkan 7.5 peratus setahun berbanding 4.5 peratus pada masa ini.

Lapangan terbang ini juga dijangka akan menyumbang kepada Pendapatan Kasar Negara (GNI) sebanyak AS$281 juta (RM1.186 bilion) pada 2026.

Dalam usaha Kerajaan Negeri meningkatkan daya ekonomi rakyat, KXP menyediakan antara 15,000 hingga 18,000 peluang pekerjaan secara langsung untuk diisi oleh penduduk tempatan.

Insya Allah, berkat usaha dan kerja keras semua pihak terutama daripada PKNK, KXP AirportCity Holdings dan ECK serta iringan doa seluruh rakyat Kedah, kita yakin KXP berupaya untuk mengubah imej dan status Negeri Kedah.

Dalam beberapa tahun akan datang, insya Allah Kedah akan berubah wajah daripada sebuah negeri miskin kepada negeri ekonomi baharu yang pesat berkembang sebagaimana di Lembah Kelang.

Kerajaan Negeri menaruh keyakinan yang tinggi bahawa KXP akan menjadi ‘economic game changer’ untuk negara, khususnya wilayah Utara Semenanjung Malaysia.

Fasa pertama projek ini yang akan bermula dalam tempoh terdekat menelan kos RM6 bilion termasuk untuk pengambilan tanah. Ia akan dilanjutkan dengan beberapa projek lain termasuk pembangunan empat infrastruktur utama iaitu Lebuhraya Koridor Utara (NCH) laluan antara Bandar Baharu – Sungai Petani melalui KXP.

Selain itu, akan dibina akses baharu Lebuhraya Utara – Selatan di Tikam Batu serta kerja menaik taraf laluan keluar masuk Sungai Petani yang sedia ada dan juga cadangan penjajaran baharu landasan kereta api Tasik Gelugor – Kulim Hi Tech Park – Sungai Petani – Kulim Hi Tech Park.

Dengan termeterinya perjanjian penubuhan SPV yang akan merealisasikan sebuah impian menjadi kenyataan hari inu, saya mohon kepada semua rakyat Kedah Darul

Aman yang tercinta untuk memberikan sokongan penuh terhadap projek ini dan mendoakan kejayaannya demi masa depan anak cucu kita pada masa yang akan datang.

Sekian, terima kasih.

“Kedah Sejahtera – Nikmat Untuk Semua”

“Kedah Negeri Orang Miskin Berteduh, Tempat Orang Kaya Berbakti”

Salam hormat,

Haji Muhammad Sanusi Md. Nor

Menteri Besar Kedah Darul Aman

Alor Setar

2 Ogos 2021