Thursday, 28, March, 2024
Utama Negeri Individu ditahan ceroboh Hutan Simpan Bukit Payong

Individu ditahan ceroboh Hutan Simpan Bukit Payong

oleh Ammar Haziq
JPNK menyita sebuah jentera jenis Excavator Hitachi yang digunakan untuk kerja-kerja tanah dan membersih kawasan penerokaan di Hutan Simpan Bukit Payong di Kubang Pasu.

ALOR SETAR: Jabatan Perhutanan Negeri Kedah (JPNK) hari ini berjaya menumpaskan aktiviti pencerobohan dan penerokaan dalam Kawasan Hutan Simpanan Kekal pada jam 10.30 pagi (25 Julai 2021-Ahad).

Bergerak melalui aduan, pasukan Penguatkuasaan JPNK bersama Unit Tindakan Khas, Pejabat Hutan Daerah Kedah Utara bergegas ke lokasi aduan tersebut.

Pasukan penguatkuasaan membuat semakan serta pengesahan lanjut lokasi aduan melalui sistem Forest Monitoring Remote Sensing (FMRS) dan sistem Pangkalan Data Geospatial Perhutanan (PDGP) dan mengesahkan lokasi aduan adalah di dalam Hutan Simpan Bukit Payong.

Pasukan penguatkuasaan terus melakukan serbuan dan berjaya membuat tahanan seorang individu kerana disyaki telah melakukan kesalahan di bawah Enakmen Perhutanan Negera (Pemakaian) 1985. Hasil serbuan juga pasukan telah berjaya membuat sitaan sebuah jentera jenis Excavator Hitachi yang digunakan untuk kerja-kerja tanah dan membersih kawasan penerokaan.

Anggaran keluasan hutan yang terlibat adalah lebih kurang 1.2 hektar dan dianggarkan kerugian dengan pemusnahan pokok-pokok hutan dengan kerja-kerja tanah lebih kurang RM 50,000.00.

Orang Yang Disyaki (OYDS) ditahan dan dibawa ke Balai Polis Jitra bagi siasatan lanjut oleh Jabatan Perhutanan Negeri Kedah. Kes ini disiasat dibawah Enakmen (Pemakaian) Akta Perhutanan Negara 1985 iaitu :

  1. Seksyen 81(1)(b) kerana menebang, memotong, mengelang, menanda, menutuh atau menoreh mana-mana pokok atau merosakkan dengan api, Jika didapati bersalah boleh dikenakan denda tidak melebihi RM50,000.00 atau     penjara selama tempoh tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali.
  1. Seksyen 81(1)(g) kerana menceroboh hutan simpanan kekal. Jika didapati bersalah boleh dikenakan denda tidak melebihi RM10,000.00 atau penjara selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali.
  1. Seksyen 47(1) kerana memasuki hutan tertutup tanpa kebenaran, Jika didapati bersalah boleh dikenakan denda tidak melebihi RM10,000.00 atau penjara selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali,

Jabatan amat komited dan memandang serius aktiviti pencerobohan dan penerokaan Hutan Simpanan Kekal dan akan melaksanakan pendakwaan terhadap individu -individu yang melakukan kesalahan tersebut.

Bagi memastikan salah laku berhubung perhutanan dapat dibendung, jabatan amat mengalu-alukan kerjasama mana-mana pihak atau orang awam bagi menyalurkan maklumat berkaitan sebarang aktiviti kesalahan hutan, penerokaan dan pencerobohan Hutan Simpanan Kekal.

MUHAMAD BIN ABDULLAH

Pengarah Perhutanan Negeri

Jabatan Perhutanan Negeri Kedah

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com