Friday, 29, March, 2024
Utama Negeri 12,000 bakul makanan kepada penduduk terjejas di Pendang

12,000 bakul makanan kepada penduduk terjejas di Pendang

oleh Ammar Haziq
Awang (kanan) menyerahkan bakul makanan kepada wakil penduduk setempat sebagai simbolik di Pusat Khidmat Wakil Rakyat Parlimen Pendang, di Kampung Gajah Mati, Pendang, semalam.

PENDANG – Sebanyak 12,000 bakul makanan bernilai RM300,000 diagihkan kepada penduduk yang terjejas di daerah Pendang menerusi Pemulihan Ekonomi (PEMULIH).

Ahli Parlimen Pendang, Datuk Awang Hashim, berkata bakul makanan Parlimen Pendang itu diserahkan kepada ketua komuniti dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Tokai dan Sungai Tiang untuk diagihkan kepada keluarga yang dikenal pasti.

Menurutnya, bantuan itu akan diagihkan kepada sesiapa sahaja tanpa mengira bangsa dan agama serta parti politik, semua orang akan dapat asalkan mereka terjejas ketika pandemik COVID-19.

“Antara barang yang kita agih adalah beras, gula, minyak masak dan telur.Sejak minggu lalu, sebanyak 4,000 bakul makanan telah kita agih dan ia akan dilaksanakan secara berperingkat,”katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas program agihan bakul makanan di Pusat Khidmat Wakil Rakyat Parlimen Pendang, di Kampung Gajah Mati, di sini.

Turut hadir ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tokai, Datuk Dr Mohd Hayati Othman yang juga merupakan EXCO kerajaan negeri

Awang yang juga Timbalan Menteri Sumber Manusia, berkata bagi memastikan agihan diterima, PKWR Parlimen Pendang telah mengenal pasti tempat atau pusat agihan berdekatan dengan kawasan penduduk bagi memudahkan mereka mendapatkan bantuan tanpa keluar jauh dari tempat tinggal.

Sebagai contoh, katanya, penduduk di Kubur Panjang tidak perlu datang ke Pendang untuk mendapatkan bantuan, mereka hanya perlu berhubung dengan ketua komuniti dan bantuan akan disalurkan secara terus.

“Dengan ini, Ketua komuniti termasuk Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung dan ketua kampung juga dapat menyelaras bantuan dengan lebih mudah dan cepat.

“Pada masa yang sama, pihak PKWR juga akan memantau setiap kawasan dalam Pendang bagi memastikan tiada yang tercicir daripada mendapat bantuan mencukupi dari semasa ke semasa,”jelas beliau.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com