Saturday, 20, April, 2024
Utama Negeri Satu tan ketum dirampas di Kuala Kerpan

Satu tan ketum dirampas di Kuala Kerpan

oleh Ammar Haziq

KUALA KEDAH, 11 Julai – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Kuala Kedah sekali lagi menggagalkan cubaan menyeludup keluar lebih kurang satu tan daun ketum di kedudukan 0.1 batu nautika dari muara Kuala Kerpan, Kedah pada jam 1.30 pagi, pada 9 Julai lalu.

Berikutan maklumat risikan mengenai aktiviti penyeludupan daun ketum, sebuah bot ronda Maritim Malaysia telah diatur gerak ke lokasi berkenaan untuk melakukan serbuan dan telah mengesan sebuah bot fiber tanpa nombor pendaftaran yang bergerak dalam keadaan mencurigakan menuju keluar dari Kuala Kerpan.

Sebaik menyedari kehadiran pihak berkuasa, suspek bertindak menukar arah dengan memecut laju menuju ke pesisiran pantai berdekatan bagi meloloskan diri dan meninggalkan bot serta muatan.

Pasukan serbuan telah menemukan 100 bungkusan plastik berwarna hitam disyaki daun ketum di atas bot berkenaan dengan berat dianggarkan lebih kurang satu tan dan bernilai sekitar RM180 ribu.

Daun ketum itu dipercayai cuba diseludup keluar ke negara jiran melalui jalan laut berikutan harga pasaran semasa daun ketum di Thailand telah mencecah lebih RM180 sekilogram, berbanding pasaran tempatan hanya sekitar RM40 sahaja.

Semua hasil rampasan beserta bot fiber dan enjin dianggarkan bernilai RM235 ribu itu dibawa ke jeti Zon Maritim Kuala Kedah untuk diserahkan kepada Pegawai Penyiasat bagi tindakan lanjut.

Kes akan disiasat di bawah Seksyen 30(3) Akta Racun 1952 kerana penyalahgunaan ketum termasuk mengimport, menjual, memproses dan lain-lain berkaitan bahan tersebut. Jika disabit kesalahan boleh dikenakan hukuman denda tidak lebih daripada RM10 ribu atau penjara tidak lebih empat tahun atau kedua-duanya.

Ini merupakan rampasan daun ketum ketujuh bagi tahun ini dan ianya merupakan rampasan terbesar buat kali kedua selepas rampasan pada bulan Mac yang lepas. Jumlah keseluruhan tujuh hasil rampasan setakat ini dianggarkan bernilai RM734,600 ribu.

Maritim Malaysia memandang serius aktiviti penyeludupan barang terlarang ini. Walaupun telah banyak rampasan dan tangkapan dilakukan sebelum ini namun aktiviti ini dilihat terus aktif dilakukan oleh para penyeludup bagi mengambil jalan mudah untuk menjana pendapatan lumayan yang mencecah ribuan ringgit.

Maritim Malaysia akan terus memperhebatkan operasi dan pemantauan di sempadan dan perairan negara dari semasa ke semasa bagi membendung aktiviti penyeludupan, pencerobohan dan jenayah maritim yang berlaku di perairan utara Semenanjung Malaysia.

Pihak Maritim Malaysia, Zon Maritim Kuala Kedah mengalu-alukan aduan mengenai sebarang aktiviti jenayah atau kecemasan di laut dan boleh disalurkan melalui talian kecemasan 24 jam MERS 999 atau Pusat Operasi Maritim Malaysia Zon Maritim Kuala Kedah di talian 04-7310579.

LAKSAMANA PERTAMA MARITIM MOHD ZAWAWI BIN ABDULLAH  

PENGARAH MARITIM NEGERI KEDAH DAN PERLIS 

AGENSI PENGUATKUASAAN MARITIM MALAYSIA

KEMENTERIAN DALAM NEGERI

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com