Saturday, 20, April, 2024
Utama Negeri 13 ADUN pembangkang Kedah pilih tolong termasuk yang kibar bendera putih

13 ADUN pembangkang Kedah pilih tolong termasuk yang kibar bendera putih

oleh Ammar Haziq

YANG CONDONG DITUMPIL, YANG LEMAH DIANDUH
“ ORANG SUSAH TIADA PILIHAN. KITA ADA PILIHAN, UNTUK TOLONG ATAU TIDAK. KAMI PILIH UNTUK TOLONG, TERMASUK YANG KIBAR BENDERA PUTIH “ – ADUN PERMBANGKANG KEDAH

Sekian lama kita berperang dengan pandemik Covid 19, bahananya semakin
menekan kehidupan masyarakat. Paling terkesan adalah golongan berpendapatan rendah
dan sederhana serta yang bergantung kepada upah harian, yang diberhentikan kerja, ibu
tunggal dan warga emas terlantar uzur.

Mereka berjuang untuk hidup, hari demi hari
bertambah sukar untuk menyara hidup sendiri dan keluarga. Entah berapa ramai ibu dan
bapa sebak mendodoi anak-anak kecil tidur dalam kelaparan. Kalau dapat makan telur
dibelah lapan pun mereka sudah bersyukur.

Kami, ADUN-ADUN Pembangkang di Negeri Kedah Darul Aman, seperti tersenarai di
bawah, sentiasa cakna dengan kebajikan rakyat. Kami menjenguk keluarga yang terkesan untuk membantu dengan harapan keperitan hidup mereka tidak tambah mudarat.

Kami berasa lega dan bersyukur bila rakyat sendiri bangkit menggerakkan kempen
Kibar Bendera Putih, tanda bahawa adanya empati di kalangan masyarakat terhadap insan lain yang dihimpit kesusahan. Keluarga yang terdesak harus kibar bendera putih di rumah bagi memudahkan kami dan pihak lain mengesan isirumah yang perlu ditolong dengan segera dan tanpa kerenah birokrasi.

Dokong prinsip “Yang Condong Ditumpil, Yang Lemah Dianduh”. Kita saling
membantu, biar pun sedikit tetapi besar maknanya kepada mereka yang menerima. Kita
bersama dalam perjuangan ini dan bersekalilah semuanya menghulur tangan untuk
meringan beban mereka yang ditimpa kesusahan, tanpa dibenteng ras, agama mahupun
kecenderungan politik.

Kami berharap Yang Amat Berhormat Menteri Besar Kedah Muhammad Sanusi Md.
Nor dapat merenung kembali implikasi ke atas masyarakat bilamana beliau berkeras tidak mengiktiraf inisiatif Kibar Bendera Putih itu, yang beliau label sebagai propaganda politik dan cubaan untuk mengatakan Kerajaan sedia ada telah gagal. Adakah kesengsaraan hidup rakyat itu propaganda politik? Adakah kesusahan rakyat itu perlu dipolitikkan?

Seorang pemimpin tidak harus angkuh dan bongkak, sambil galak melaungkan
retorika politik ketika rakyat sedang kelemasan. Berlapang dada dalam menerima
keikhlasan pihak-pihak bukan kerajaan yang tampil mengorban tenaga, masa dan harta
benda demi menyelamatkan keluarga yang sedang bergelut untuk hidup.

Sebenarnya, inisiatif Kibar Bendera Putih di halaman rumah turut membuka peluang
untuk wakil Kerajaan bergegas bagi membantu isirumah itu. Janganlah pula terus
menghukum mereka itu pembangkang, maka tidak perlu dibantu walaupun layak
menerima bantuan. Sebaiknya bantuan dari semua pihak, baik dari Kerajaan, wakil-wakil
rakyat Kerajaan mahupun Pembangkang, badan-badan amal, pihak swasta dan individu,
kesemuanya saling meringankan beban rakyat yang susah.

Yang Amat Berhormat Menteri Besar berhak untuk tidak bersetuju dengan pandangan
ini dan teruslah menidakkan bahawa usaha Kerajaan setakat ini tidak efektif dan
mengecewakan banyak pihak, khasnya rakyat yang terdesak menanti pertolongan. Kami
tidak akan goyah dari azam untuk berkhidmat kepada rakyat, menjaga kebajikan mereka
dan memegang amanah mereka yang kami galas selama ini, yang akan kami tunaikan
dengan penuh keinsafan dan kebertanggungjawaban yang tinggi.

Orang susah tiada pilihan. Kita ada pilihan, untuk menolong atau tidak. Kami pilih
untuk menolong, termasuk yang Kibar Bendera Putih.
Sekian, terima kasih.


Amiruddin Hamzah (Anak Bukit)
Asmirul Anuar Aris (Kubang Rotan)
Ismail Salleh (Pengkalan Kundor)
Johari Abdul (Gurun)
Mukhriz Mahathir (Jitra)
Phahrolrazi Mohd Zawawi (Alor Mengkudu)
Salmee Said (Kota Siputeh)
Simon Ooi Tze Min (Bakar Arang)
Summugam Rengasamy (Bukit Selambau)
Tan Kok Yew (Derga)
Teh Swee Leong (Kota Darul Aman)
Yeo Keng Chuan (Kulim)
Zamri Yusuf (Suka Menanti)


Alor Setar, Kedah
Hari Isnin, 5hb. Julai 2021

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com