Friday, 26, April, 2024
Utama Nasional NCER tarik pelaburan RM16 bilion walaupun dalam krisis pandemik

NCER tarik pelaburan RM16 bilion walaupun dalam krisis pandemik

oleh Ammar Haziq
Mesyuarat Majlis NCIA Ke-26 yang diadakan secara sidang video dan dipengerusikan oleh YAB Perdana Menteri Tan Sri Dato’ Haji Muhyiddin bin Haji Mohd Yassin

Kuala Lumpur, 25 Jun 2021 – Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) hari ini mengumumkan kejayaan memperoleh pelaburan bernilai lebih RM16 bilion pada tahun 2021 dan bakal mencipta 19,652 peluang pekerjaan. Kejayaan ini merupakan bukti keyakinan berterusan para pelabur terhadap usaha Kerajaan dalam mengurus dan menangani pandemik COVID-19 di dalam negara.

Pengumuman tersebut dibuat pada Mesyuarat Majlis NCIA Ke-26 yang diadakan secara sidang video dan dipengerusikan oleh YAB Perdana Menteri Tan Sri Dato’ Haji Muhyiddin bin Haji Mohd Yassin. Pada mesyuarat yang sama, Perdana Menteri turut menyaksikan lapan (8) buah syarikat menyatakan komitmen pelaburan berimpak tinggi di Kedah, Pulau Pinang, Perak dan Perlis.

Pelaburan yang diterima oleh NCIA dengan kolaborasi Kementerian Kewangan (MOF), Unit Perancang Ekonomi (EPU), Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) dan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) itu adalah selaras dengan usaha Kerajaan untuk menjayakan Pelan Pemulihan Negara yang diumumkan Perdana Menteri pada 15 Jun 2021.

Pelaburan yang diperoleh NCIA pada tahun ini juga adalah bukti kejayaan agensi berkenaan dalam membina ekosistem berdaya tahan yang mendorong pemulihan era pasca pandemik COVID-19 dan pada masa yang sama menyediakan jaringan keselamatan sosial untuk Rakyat.

Pihak NCIA pada mesyuarat itu juga telah membuat pembentangan berhubung perkembangan terkini projek-projek sosioekonomi seperti pelan pemulihan COVID-19 dan juga pelaksanaan program modal insan yang bertumpukan kepada pembangunan Rakyat di NCER.

Turut serta pada mesyuarat tersebut adalah Menteri Kewangan, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Ketua Setiausaha Negara, Menteri Besar dan Ketua Menteri bagi negeri-negeri di bawah Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER), serta Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif PETRONAS dan Pengerusi SIRIM yang mewakili sektor swasta.

Terdahulu di dalam perutusannya kepada mesyuarat, Perdana Menteri berkata pelaburan-pelaburan yang menggalakkan itu menunjukkan keyakinan para pelabur terhadap asas-asas ekonomi negara ini walaupun berdepan dengan cabaran pandemik COVID-19.

Menurutnya, komitmen-komitmen pelaburan serta peluang pekerjaan yang bakal disediakan adalah tanda keyakinan komuniti pelabur terhadap daya maju Malaysia dan negeri-negeri NCER.

“Di bawah Pelan Pemulihan Negara yang diumumkan pada 15 Jun lalu, Kerajaan berusaha untuk memberikan vaksin kepada sebanyak mungkin populasi di Malaysia menjelang akhir tahun ini atau lebih awal. Ini akan membantu memulihkan situasi pandemik yang sedang melanda termasuk aktiviti-aktiviti perniagaan dan ekonomi. Komitmen-komitmen pelaburan seperti yang kita lihat hari ini insya-Allah akan mendukung dan mempercepatkan proses pemulihan kita, khususnya di NCER,” kata Perdana Menteri.

Pelaburan yang diperoleh NCIA pada tahun ini adalah bukti kejayaan agensi berkenaan dalam membina ekosistem berdaya tahan yang mendorong pemulihan era pasca pandemik COVID-19 dan pada masa yang sama menyediakan jaringan keselamatan sosial untuk Rakyat.

Pelaburan-pelaburan yang berjaya diperoleh juga adalah selaras dengan Pelan Pembangunan Staregik NCER (NCER SDP 2021-2025). NCER SDP yang bertunjangkan wawasan ‘Pembangunan dengan Kesaksamaan’ atau ‘Growth with Equity’ dalam usaha menjadikan NCER wilayah ekonomi bertaraf dunia menjelang tahun 2025 dan menumpukan kepada usaha-usaha pemulihan sosio-ekonomi untuk rakyat dan komuniti perniagaan.

Pada majlis hari ini, dua pelabur perintis telah bersetuju untuk menyuntik pelaburan kumulatif bernilai RM1.55 bilion dalam projek Kedah Rubber City (KRC), iaitu Taman Perindustrian Getah yang pertama di Malaysia. Pembangunan kemudahan infrastruktur di KRC kini mendahului jadual dan pelaksanaan projek pelabur akan bermula dari suku keempat (Q4) 2021 dan seterusnya.

Pelabur-pelabur terlibat adalah Hong Seng Industries Sdn Bhd (RM1.5 bilion) and LTS Logistics Sdn Bhd (RM55 million). Secara keseluruhannya, pelaburan oleh kedua-dua syarikat ini dijangka mewujudkan 2,630 peluang pekerjaan.

Dengan merangkaikan pengeluar getah utama serantau di kawasan Segi Tiga Pertumbuhan Indonesia-Malaysia-Thailand (IMT-GT), KRC akan memperkukuhkan rantaian nilai getah meliputi segmen huluan (upstream), pertengahan (midstream) dan hiliran (downstream) di sub-wilayah IMT-GT yang membolehkan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) menjadi lebih berdaya saing.

NCER terus menarik pelaburan dalam industri peralatan perubatan, yang telah menyaksikan pertumbuhan pesat dalam tempoh ini. Aspen Glove Sdn Bhd melabur RM4.5 bilion di Kulim Hi-Tech Park (KHTP) untuk mengeluarkan sarung tangan pembedahan Nitrile dan Getah Asli. Sementara itu, Ammorium Resources Sdn Bhd akan melabur sebanyak RM1.4 bilion untuk merancang, membangun dan mengeluarkan produk-produk sarung tangan ujian gred-perubatan nitril di Tronoh, Perak.

Industri Elektrikal dan Elektronik (E&E) terus menjadi penjana utama pertumbuhan di NCER. Syarikat yang berpangkalan di Bayan Lepas, Pulau Pinang, iaitu Intel Technology Sdn Bhd dan Intel Microelectronics (M) Sdn Bhd, kedua-duanya anak syarikat milik penuh syarikat yang tersenarai di dalam Fortune 500, akan melabur RM4.4 bilion dan dianggar mewujudkan sebanyak 1,593 peluang pekerjaan.

Sementara itu, Greatech Integration (M) Sdn Bhd yang berpangkalan di Batu Kawan, Pulau Pinang, sebuah syarikat tempatan dan penyedia perkhidmatan penyelesai bertaraf dunia dalam sektor automasi kilang, mesin dan kelengkapan industri E&E akan membuat pelaburan tambahan bernilai RM1.6 bilion untuk kemudahan-kemudahan baharu operasinya yang dijangka memulakan operasi pada suku keempat (Q4) 2021. Ini dijangka mewujudkan 450 peluang pekerjaan.

Sebuah lagi pelabur dari sektor E&E adalah Infineon Technologies (Kulim) Sdn Bhd, yang menyuntik pelaburan sebanyak RM2.65 bilion untuk membina kemudahan fabrikasi wafer berteknologi tinggi dan bersepadu di KHTP. Fasiliti ini adalah pusat kecekapan untuk fabrikasi wafer semikonduktor yang memfokuskan pada megatrends dalam teknologi pengurusan automotif dan pengurusan kuasa. Pelaburan Infineon akan mewujudkan 1,815 peluang pekerjaan baru.

Pelaburan oleh ketiga-tiga syarikat ini mencerminkan keyakinan industri terhadap ekonomi pasca pandemik di negara dan wilayah ini serta menunjukkan potensi sangat besar bagi sektor E&E pada masa hadapan.

Intel, Greatech dan Infineon juga mengambil bahagian dalam program pembangunan modal insan iaitu NCER Talent Enhancement Programme (NTEP) yang menyediakan peluang-peluang pekerjaan bernilai tinggi kepada graduan-graduan tempatan.

Antara Projek strategik lain di NCER adalah NCER Agriculture Economic Zone (NAEZ) di Chuping-Bukit Kayu Hitam dan Transkrian. Projek serantau ini disokong oleh Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) serta agensi-agensinya dan akan memacu kemajuan Malaysia dalam sektor pertanian makanan atau agrofood, selain memastikan jaminan keselamatan makanan negara (National Food Security Agenda). NAEZ dijangka menjana impak ekonomi sebanyak RM6.1 bilion, menarik pelaburan swasta sejumlah RM5 billion dan mewujudkan lebih 17,600 pelung pekerjaan menjelang 2025 untuk wilayah ini.

Selari dengan inisiatif NAEZ, FGV Integrated Farming Holdings Sdn. Bhd, anak syarikat milik penuh FGV Holdings Berhad pula kini dalam proses mengubah Chuping menjadi kawasan pertanian berskala besar untuk aktiviti-aktiviti pertanian utama. Projek ini akan membuka potensi kawasan pertanian seluas hampir 4,500 hektar di FGV Chuping Agro Valley menerusi pembangunan Ladang Tanaman Kontan Nilai Tinggi Bersepadu atau Integrated High-Value Cash Crop Plantation dan potensi pengembangan penternakan tenusu berskala besar bersepadu yang akan dimulakan setelah selesai kajian kelayakan (feasibility studies) dan teknikal yang komprehensif pada akhir 2021.

Datuk Seri Jebasingam menambah bahawa program modal insan bersepadu NCIA terutamanya Kasih Ibu NCER dan program fast-track, JomKerja@NCER dan JomNiaga@NCER sejajar dengan usaha Kerajaan untuk membantu rakyat serta PKS dan perniagaan mikro bangkit semula susulan pandemik COVID-19.

“Ini adalah petanda-petanda awal kebangkitan ekonomi akan berlaku tidak lama lagi. Ia membawa lembaran baharu yang amat dinantikan oleh semua pihak,” tambahnya.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com