Friday, 29, March, 2024
Utama Nasional Saya maafkan Nini Siron – MB Kedah

Saya maafkan Nini Siron – MB Kedah

oleh Ammar Haziq

Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor memaafkan Nini Siron yang menularkan gambarnya semasa berada di pekarangan sebuah pusat jualan dan pameran kenderaan di Autocity Juru, Bukit Mertajam, pada Sabtu.

Menurutnya, beliau menyerahkan sepenuhnya kepada Polis Pulau Pinang untuk menyiasat kejadian tersebut selepas panas di media sosial sejak gambar tersebut dimuatkan di media sosial.

“Saya tidak salahkan dia (Nini Siron), saya maafkan dia. Mungkin pada anggapan padanya berlaku pelanggaran prosedur operasi standard (SOP) oleh seorang pemimpin yang sepatutnya menjadi contoh kepada orang lain dan sepatutnya tidak rentas negeri, tetapi pemimpin ini merentas negeri.

“Tetapi sepatutnya dia tanyalah, nak p mana dan saya boleh jawab dengan elok, tambah-tambah macam makcik itu, dia pun mungkin dengan suaminya, saya difahamkan mereka ada dua orang dalam kereta, saya tidak tahu masa mana depa pusing ambil gambar,” katanya pada sidang media selepas melawat PKRC Al-Farabi di Jalan Stadium, Alor Setar, hari ini.

Mengulas lanjut, beliau juga memaafkan individu-individu yang telah memakinya berhubung kejadian tersebut di media sosial termasuk isu-isu yang mempunyai kaitan dengan dirinya sebelum ini

“Bila dah tular, ingat habis dah, tapi sampai netizen gelar saya iblis, saya rasa mengibliskan orang dalam situasi tersebut tidak sepatutnya berlaku

“Kalau kita terus berdebat macm itu (dalam media sosial), tidak baguslah. saya akan serahkan perkara ini kepada polis Pulau Pinang untuk selesaikan dan petang ini mereka akan datang untuk mengambil keterangan tentang apa yang berlaku,” ujarnya.

Muhammad Sanusi berkata, jika benar kejadian berkenaan menjadi kesalahan, beliau bersedia untuk dikompaun.

“Kalau encik Ong yang berada di showroom itu juga didapati bersalah, maka saya juga akan bayar. Sesiapa yang dikira bersalah dalam kejadian tersebut dan dikompaun juga saya akan bayar.

“Saya tidak ada niatpun untuk membeli kereta baharu, cuma tertarik dengan kereta yang di situ dan cuma bertanya encik Ong yang kebetulan berada di situ dan beliau melayan pertanyaan dengan baik,” katanya.

Menurutnya, beliau bersedia untuk menghadiahkan Nini Basiron gajet yang lebih sesuai dalam menularkan perkara-perkara kebaikan untuk memupuk kebaikan dalam masyarakat terutamanya di media sosial.

Semalam media melaporkan polis akan menjalankan siasatan berhubung dakwaan Menteri Besar Kedah memandu uji kereta di sebuah pusat jualan dan pameran kenderaan di Autocity Juru, di sini pada Sabtu.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Shafee Abd Samad menjelaskan siasatan dilakukan menurut Seksyen 269 Kanun Keseksaan dan Peraturan 17(1) Peraturan-peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2021.

Perkara tersebut susulan penularan gambar dan video memaparkan individu dipercayai Muhammad Sanusi memandu uji sebuah kereta – KG

– KG

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com