Friday, 19, April, 2024
Utama Negeri Nelayan cedera, bot hampir karam di Kuala Kedah

Nelayan cedera, bot hampir karam di Kuala Kedah

oleh Ammar Haziq
Nelayan yang cedera dibawa ke Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar untuk rawatan lanjut pada Sabtu.

TEKS/FOTO MARITIM MALAYSIA

KUALA KEDAH, 23 Mei – Empat nelayan tempatan berdepan detik cemas apabila bot yang dinaiki mengalami kebocoran dan hampir karam sebelum berjaya diselamatkan anggota bot PERKASA 1226 milik Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Kuala Kedah di kedudukan 5 batu nautika barat daya Kuala Kedah, sekitar jam 10.48 malam semalam.

Pengarah Zon Maritim Kuala Kedah, Komander Maritim Noor Azreyanti binti Ishak berkata, Pusat Operasi Zon Maritim Kuala Kedah berkata, pihaknya menerima panggilan telefon sekitar jam 9.55 malam mengenai insiden bot nelayan pukat tunda kelas C yang hampir karam akibat kebocoran.

Bot PERKASA 1226 seterusnya diatur gerak ke lokasi kejadian dan telah menemukan bot berkenaan dengan keadaan bot separuh tenggelam dan hanya seorang mangsa sahaja memakai jaket keselamatan.

Usaha menyelamatkan mangsa menghadapi sedikit kesukaran berikutan keadaan laut yang agak bergelora namun kesemua mangsa berjaya diselamatkan.

Empat nelayan yang berjaya diselamatkan oleh Maritim Malaysia di Kuala Kedah.

Empat mangsa iaitu Husin bin Muhammad, 49, tekong bersama tiga kru Romli bin Hassim, 65, Amran bin Abu Seman, 49, dan Omar bin Bakar, 56 dibawa balik ke Jeti Zon Maritim Kuala Kedah untuk tindakan lanjut.

Salah seorang daripada mangsa mengalami kecederaan di lengan kanan telah diserahkan kepada pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan dibawa ke Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar untuk rawatan lanjut manakala tiga lagi mangsa dibenarkan pulang ke rumah bersama waris.

Maritim Malaysia mengingatkan semua yang berhasrat melakukan aktiviti di laut agar mengambil langkah-langkah keselamatan seperti memakai jaket keselamatan, merujuk ramalan kaji cuaca, memastikan bot dalam keadaan baik dan membawa Personal Locator Beacon (PLB).

Zon Maritim Kuala Kedah meminta orang awam untuk melaporkan sebarang kejadian kecemasan atau kemalangan di laut melalui talian kecemasan 24 jam MERS 999 atau Pusat Operasi Zon Maritim Kuala Kedah di talian 04-7310579.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com