Friday, 26, April, 2024
Utama Negeri Penyeludup terjun bot tinggalkan 1 tan daun ketum

Penyeludup terjun bot tinggalkan 1 tan daun ketum

oleh Ammar Haziq
Zawawi (tengah) menunjukkan daun ketum yang berjaya dirampas pasukannya di Muara Kuala Jerlun pada Rabu.

ALOR SETAR, 1 April – Cubaan menyeludup keluar lebih kurang satu tan daun ketum berjaya dipatahkan oleh Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Kuala Kedah di kedudukan 0.3 batu nautika dari muara Kuala Jerlun pada jam 5.10 pagi, semalam.

Pengarah Maritim Negeri Kedah dan Perlis, Laksamana Pertama Maritim Mohd Zawawi bin Abdullah berkata, hasil maklumat risikan berkaitan aktiviti penyeludupan ini, sebuah bot ronda Maritim Malaysia telah diatur gerak ke kawasan berkenaan dan telah mengesan sebuah bot fiber tanpa nombor pendaftaran menuju keluar dari Kuala Jerlun yang bergerak dalam keadaan mencurigakan.

Sebaik menyedari kehadiran pihak berkuasa, suspek bertindak melarikan diri dengan menukar haluan dan memecut laju ke daratan.

Suspek seterusnya bertindak nekad terjun ke laut dengan berenang melarikan diri ke kawasan paya bakau berlumpur berhampiran dan meloloskan diri.

Pemeriksaan ke atas bot mendapati 90 bungkusan plastik berwarna hitam yang disyaki daun ketum dengan berat lebih kurang satu tan dan anggaran nilai RM180 ribu.

Kesemua daun ketum terbabit dipercayai cuba diseludup keluar ke negara jiran mengikuti jalan laut. Maklumat risikan juga melaporkan harga pasaran semasa daun ketum di Thailand mencecah sehingga RM180 sekilogram, berbanding pasaran tempatan hanya sekitar RM40 sahaja.

Aktiviti penyeludupan menjadi semakin rancak melalui jalan laut berikutan pintu sempadan negara masih lagi ditutup serta harga pasaran yang tinggi di Thailand.

Semua hasil rampasan beserta bot fiber dan enjin dianggarkan bernilai RM230 ribu itu, dibawa ke jeti Zon Maritim Kuala Kedah untuk diserahkan kepada Pegawai Penyiasat bagi tindakan lanjut.

Kes akan disiasat di bawah Seksyen 30(3) Akta Racun 1952 kerana penyalahgunaan ketum termasuk mengimport, menjual, memproses dan lain-lain berkaitan bahan tersebut. Jika disabit kesalahan boleh dikenakan hukuman denda tidak lebih daripada RM10 ribu atau penjara tidak lebih empat tahun atau kedua-duanya.

Maritim Malaysia memandang serius aktiviti penyeludupan barang terlarang ini. Walaupun telah banyak rampasan dan tangkapan dilakukan sebelum ini namun aktiviti ini dilihat terus aktif dilakukan oleh para penyeludup bagi mengambil jalan mudah untuk menjana pendapatan lumayan yang mencecah ribuan ringgit.

Maritim Malaysia akan terus memperhebatkan operasi dan pemantauan di sempadan dan perairan negara dari semasa ke semasa bagi membendung aktiviti penyeludupan, pencerobohan dan jenayah maritim yang berlaku di perairan utara Semenanjung Malaysia.

Pihak Maritim Malaysia, Zon Maritim Kuala Kedah mengalu-alukan aduan mengenai sebarang aktiviti jenayah atau kecemasan di laut dan boleh disalurkan melalui talian kecemasan 24 jam MERS 999 atau Pusat Operasi Maritim Malaysia Zon Maritim Kuala Kedah di talian 04-7310579.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com