Friday, 26, April, 2024
Utama Negeri MB Kedah nafi pegawai khas UMNO ‘dibuli, dikutuk, dipertikai’

MB Kedah nafi pegawai khas UMNO ‘dibuli, dikutuk, dipertikai’

oleh Ammar Haziq

Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor memberikan maklumbalas terhadap kenyataan pegawai khasnya, Mohd Fadzil Zolkipli yang merupakan wakil Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia dalam Perhimpunan Agong UMNO yang berlangsung pada 27 dan 28 Mac 2021 di Dewan Merdeka, PWTC.

Berikut kenyataan Muhammad Sanusi di Facebook rasminya pada 29 Mac 2021.

Perwakilan Pemuda UMNO bercakap tidak benar bila memperihalkan suasana di pejabat Menteri Besar Kedah dalam ucapan beliau di PAU. Beliau telah membina persepsi bahawa Pegawai Khas MB Kedah daripada UMNO ‘kena buli’, dikutuk, dipertikai oleh Pegawai-pegawai Khas lain di Pejabat MB Kedah akibat langkah-langkah politik yang diambil oleh UMNO, khususnya tentang i-Sinar (KWSP) dan Moratorium – bermula pada minit ke 8:10 dalam ucapannya.

Selama saya ada di sini, tidak ada sesiapa pun pernah bersembang tentang politik kepartian di pejabat. Saya tidak pernah mendengar tentangnya. Tidak pernah sesiapapun mengutuk UMNO, PAS, PPBM atau mempertikai langkah -langkah politik UMNO di pejabat MB.

Nama-nama pemimpin politik pun tidak pernah disebut atau diulang sebut dalam urusan kerja di Pejabat MB. Kita telah membina suasana kekeluargaan di pejabat yang ada wakil-wakil parti dalam kerajaan PN sebagai Pegawai Khas MB.

Kita tidak membina kem parti politik di sini, kita bekerja sebagai kerajaan untuk seluruh rakyat Kedah. Walaupun Pegawai Khas daripada PAS lebih ramai daripada UMNO dan Bersatu, Pegawai Khas daripada UMNO dan PPBM dilayan secara profersional.

Hubungan sewaktu kerja dalam satu pasukan seperti adik beradik, tidak ada kurang tidak ada lebih. Bezanya dia dengan yang lain. Dia jarang ada di pejabat kerana melakukan tugasan di luar.

Inilah dipertegaskan bahawa di pejabat MB Kedah tidaklah seperti digambarkan dalam ucapan beliau itu dalam konteks hubungan antara kakitangan dan pegawai yang berlainan parti politik.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com