Saturday, 27, April, 2024
Utama Negeri Nelayan hilang ditemui lemas

Nelayan hilang ditemui lemas

oleh Ammar Haziq

FOTO/TEKS MARITIM MALAYSIA

TANJUNG DAWAI, 22 MAC – Nelayan yang dilaporkan hilang jumaat lepas ditemui lemas oleh Bot Perkasa 1224 lebih kurang 8.5 batu nautika dari lokasi mangsa dilaporkan hilang pada jam 11.45 pagi tadi.

Menurut Pengarah Zon Maritim Kuala Kedah, Komander Maritim Noor Azreyanti Ishak berkata, operasi carilamat yang memasuki hari ketiga berjaya menjumpai mayat terapung dan lengkap berpakaian.

Terdahulu mangsa, Mohd Rizal Ismail, 34 bersama dua rakannya keluar untuk menangkap ikan di laut pada jumaat lalu sebelum disedari hilang ketika sedang melabuhkan pukat.

Mangsa yang lemas berasal dari Tanjung Dawai, Kedah kali terakhir dilihat tidak memakai jaket keselamatan serta memakai baju berwarna putih dan hanya berseluar pendek sewaktu kejadian.

Mayat mangsa telah dibawa ke Jeti Penumpang Tanjung Dawai dan diserahkan kepada pihak Polis Diraja Malaysia Daerah Kuala Muda dan akan dibawa ke Hospital Sultan Abdul Halim, Sungai Petani untuk tindakan lanjut.

Operasi CARILAMAT ditamatkan pada 2.30 petang oleh MRSC Langkawi.

Pihak Maritim Malaysia merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) , Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) serta dibantu oleh beberapa bot nelayan tempatan yang turut membantu dalam operasi CARILAMAT ini.

Zon Maritim Kuala Kedah meminta orang awam untuk melaporkan sebarang kejadian kecemasan atau kemalangan di laut melalui talian kecemasan 24 jam MERS 999 atau Pusat Operasi Maritim Malaysia Zon Maritim Kuala Kedah di talian 04-7310579.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com