Nelayan dikhuatiri lemas sekitar Pulau Bidan,Yan

290
Anggota Maritim Malaysia melakukan rondaan dan pemeriksaan di kawasan nelayan yang dikhuatiri lemas pada jarak kira-kira 9.7 batu nautika barat laut Pulau Bidan,Yan Kedah. Gambar kecil mangsa, Mohd Rizal bin Ismail.

FOTO/TEKS MARITIM MALAYSIA

TANJUNG DAWAI – Seorang nelayan dilaporkan hilang dan dipercayai jatuh ke laut ketika keluar menangkap ikan bersama dua rakan pada jarak kira-kira 9.7 batu nautika barat laut Pulau Bidan,Yan Kedah, malam semalam.

Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Kuala Kedah, Komander Maritim Noor Azreyanti binti Ishak berkata, Maritime Rescue Sub-Centre (MRSC) Langkawi menerima aduan kejadian daripada tekong bot, Hee Leen Chai pada pukul 7.50 pagi ini telah segera mengaktifkan dan mengkoordinasikan operasi Mencari dan Menyelamat (CARILAMAT).

Mangsa, Mohd Rizal bin Ismail, warga tempatan berusia 34 tahun dilaporkan keluar ke laut bersama dua lagi rakan menaiki sebuah bot pukat tunda. Mangsa kali terakhir dilihat memakai baju putih dan berseluar hitam dipercayai tidak memakai jaket keselamatan serta mempunyai sejarah penyakit sawan.

Menurut tekong bot tersebut, mangsa disedari tiada di atas bot pada jam 11.00 malam tadi dan usaha mencari mangsa di kawasan sekitar tidak berhasil, lalu melaporkan kehilangan mangsa kepada MRSC Langkawi awal pagi tadi.

MRSC Langkawi mengkoordinasikan sektor pencarian meliputi kawasan seluas 10 batu nautika dari tempat mangsa dipercayai jatuh dengan melibatkan aset laut Maritim Malaysia, Pasukan Polis Marin (PPM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan beberapa bot nelayan tempatan yang turut membantu dalam operasi CARILAMAT ini.

Pangkalan Hadapan CARILAMAT (PHC) juga telah ditubuhkan di Singkir Laut,Yan bagi membantu memudahkan koordinasi operasi CARILAMAT.

Setakat ini operasi CARILAMAT masih belum menemui sebarang petunjuk mengenai mangsa dan aset-aset agensi terlibat serta nelayan tempatan masih meneruskan usaha mengesan dan mencari.

Zon Maritim Kuala Kedah meminta orang awam untuk melaporkan sebarang kejadian kecemasan atau kemalangan di laut melalui talian kecemasan 24 jam MERS 999 atau Pusat Operasi Maritim Malaysia Zon Maritim Kuala Kedah di talian 04-7310579.