Pulau Pinang hanya berhak guna 5 peratus air Sungai Muda

112
Muhammad Sanusi Md Nor.

ALOR SETAR- Mengikut undang-undang antarabangsa had penggunaan air, Pulau Pinang hanya berhak menggunakan 5 peratus air berdasarkan keluasan kawasan tadahan air Ulu Muda yang berada dalam negeri Kedah.


Perkara tersebut didedahkan Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor selepas Mesyuarat Exco Kedah baru-baru ini.
Menurutnya, konsep adil dan saksama perlu diguna dalam menyelesaikan pertikaian berhubung hak penggunaan sumber air Sungai Muda di antara Kedah dan Pulau Pinang.


“Air mentah yang diguna oleh Pulau Pinang sekarang dari Sungai Muda adalah sehingga 56 peratus.


“Pulau Pinang sebenarnya hanya berhak menggunakan lima peratus air Sungai Muda berdasarkan keluasan kawasan tadahan air di bahagian sungai yang dimiliki Kedah,” katanya.


Mengulas lanjut, Pulau Pinang wajar membayar kos penyelenggaraan kerana Kedah memiliki sehingga 95 peratus kawasan tadahan di kawasan Ulu Muda.


“Mengambil kira pandangan itu kita mendapati kawasan tadahan Sungai Muda yang dimiliki Pulau Pinang hanya lima peratus, maka hak penggunaan air untuk mereka hanya lima peratus sahaja.

“Tetapi apa yang berlaku negeri itu mengambil sehingga 1,200 juta liter sehari (MLD) air dari Sungai Muda yang dipam ke Empangan Mengkuang sebelum disalurkan ke bahagian pulau.

“Sedangkan Kedah hanya menggunakan 780 MLD dari sumber air yang sama,” katanya.

Jelas beliau, pertikaian seumpama itu juga berlaku melibatkan sekatan air di hulu Sungai Nil Mesir sehingga menyebabkan hak negara di hilir terjejas, maka hak riparian dirujuk

Akhir tahun lepas, Kerajaan Negeri Kedah menuntut Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) membayar RM50 juta setahun bagi caj penggunaan air mentah dari jawasan Ulu Muda.