1.76 juta rakyat Kedah terima suntikan vaksin mula 28 Februari

177
Vaksin bagi fasa pertama yang tiba di Hospital Lama Alor Setar pada hari ini.

KENYATAAN AKHBAR

24HB. FEBRUARI 2021

PENGARAH KESIHATAN NEGERI KEDAH

PENERIMAAN VAKSIN COVID 19 NEGERI KEDAH

Sebagaimana kita sedia maklum penghantaran pertama  Vaksin Covid 19 mRNA dari Syarikat Farmaseutikal Pfizer yang dikeluarkan di Belgium  telah selamat sampai ke Malaysia pada hari Ahad 22hb Februari 2021 yang lepas.

Hari ini, 24hb Februari 2021 pelancaran penyuntikan vaksin dilancarkan oleh YAB Perdana Menteri Malaysia yang mana YAB Perdana Menteri dan YBhg Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia akan menerima suntikan dos pertama vaksin mereka di Institut kesihatan Negara.

Pada hari juga ini 24hb Februari 2021 Negeri Kedah menerima vaksin Pfizer yang dibekalkan untuk pelaksanaan program fasa pertama di Negeri Kedah. 

Vaksin ini akan di tempatkan di 3 Pusat Penyimpanan Vaksin (PSV) yang terpilih iaitu di fasiliti yang telah dilengkapi dengan peralatan peralatan dan persekitaran yang selamat di daerah Kota Setar, Kuala Muda dan Langkawi.

Vaksin yang di simpan di PSV ini akan diedarkan kepada Pusat Pemberian Vaksin (PPV) mengikut keperluan pusat tersebut berdasarkan jadual suntikan yang telah disediakan oleh setiap PPV. Sehingga kini sebanyak sebanyak 57 PPV telah pun disenaraikan di negeri Kedah di mana 46 daripadanya adalah di fasiliti kesihatan KKM dan selebihnya adalah di fasiliti agensi-agensi kerajaan dan dewan yang telah dikenalpasti.

Seramai 768 pertugas kesihatan dinegeri Kedah telah dilatih sebagai penyuntik (vaccinator) untuk memastikan program vaksinasi ini dapat berjalan dengan lancar dan bilangan ini akan ditambah dalam fasa vaksinasi berikutnya apabila bilangan mereka yang perlu disuntik akan bertambah.

Buat masa ini Negeri Kedah telah diperuntukkan sebanyak 50,310 dos bagi fasa pertama ini yang akan diterima secara berperingkat sepanjang fasa pertama ini.

Sebanyak 25,155 senarai penerima vaksin yang terdiri daripada petugas kesihatan KKM dan swasta, petugas barisan hadapan  PDRM, APM, Kastam , Imigresen, Penjara, Bomba dan lain lain kategori petugas barisan hadapan yang telah dikenalpasti akan diberikan suntikan fasa pertama ini,  bermula dari 28 Februari sehingga akhir bulan April 2021.

Fasa kedua pula akan bermula bulan April hingga Ogos 2021 dan akan mensasarkan kumpulan berisiko tinggi seperti warga emas dan mereka yang mengidap penyakit tidak berjangkit (NCD) seperti penyakit jantung, diabetes, darah tinggi, penyakit pernafasan dan sebagainya.

Manakala Fasa ketiga pula akan bermula bulan Mei 2021 hingga Februari 2022 yang akan melibatkan semua penduduk Kedah yang berumur 18 tahun ke atas dan pekerja bukan warganegara. 

Dianggarkan 1.76 juta orang akan menerima suntikan vaksin di Kedah bermula 28 Februari ini sehingga Februari 2022. Ianya dijangkakan akan memberi liputan vaksinasi kepada 80 % penduduk dan pekerja bukan warganegara yang berada di Kedah.

Perlaksanaan vaksinasi COVID-19 merupakan langkah tambahan dan jangkamasa panjang bagi memperkukuhkan lagi program pencegahan kesihatan awam dalam memerangi COVID-19 dengan lebih berkesan. 

Ini akan memberi ruang untuk melonjakkan kembali sektor sosial dan sektor ekonomi setelah mengalami kemelesetan akibat pandemik COVID-19. 

Masyarakat disarankan untuk terus mengamalkan norma baru dan mengambil langkah langkah pencegahan Kesihatan Awam bagi memastikan rantaian penularan Covid 19 ini dapat diputuskan, diri sendiri dapat dilindungi dan seterusnya melindungi orang tersayang, rakan sekerja dan seluruh komuniti.

LINDUNGI DIRI, LINDUNGI SEMUA MELALUI VAKSIN

Jadilah PEMUTUS bukan PENCETUS rantaian COVID-19.

Sekian, terima kasih.

DR. HJ. MOHD. FIKRI BIN UJANG

PENGARAH KESIHATAN NEGERI KEDAH

24 FEBRUARI  2021