Thursday, 25, April, 2024
Utama Nasional Pelajar perakaunan UUM tiga terbaik dunia Disember 2020

Pelajar perakaunan UUM tiga terbaik dunia Disember 2020

oleh Ammar Haziq
Looi Pui Mun

Pic Ihsan UUM

Sintok: Pelajar Sarjana Muda Perakaunan (Sistem Maklumat), Looi Pui Mun dari Pusat Pengajian Perakaunan Tunku Puteri Intan Safinaz (TISSA-UUM) sekali lagi menjulang nama Universiti Utara Malaysia (UUM) dengan pencapaian terbaharunya apabila disenaraikan pada kedudukan ketiga dunia selepas memperolehi markah tertinggi di Malaysia bagi kertas Advanced Performance Management (APM) bulan Disember 2020.

Pada tahun lalu, Looi Pui Mun memperolehi markah tertinggi di Malaysia dan ketujuh di dunia dalam peperiksaan Strategic Business Reporting (SBR) bagi bulan Mac dan berada di tempat ketiga memperolehi markah tertinggi di Malaysia untuk kertas Strategic Business Leader (SBL) bagi bulan September.

Pelajar Semester 7 itu berkata, dia gembira kerana berjaya memperoleh markah tertinggi dan tersenarai di kedudukan ketiga dunia bagi kertas APM yang mencerminkan pengurusan perakaunan sebenar.

Menurutnya, Advanced Performance Management (APM) adalah berteraskan pengurusan strategik untuk mencapai objektif organisasi.

“Justeru, apabila menduduki peperiksaan bagi kertas APM ini, saya perlu menilai sistem pengurusan prestasi sesebuah organisasi, sama ada ianya sesuai dalam konteks organisasi tersebut.

“Jika dibandingkan dengan kertas SBR yang lebih berteraskan pelaporan kewangan korporat yang bersifat luaran (external), APM merupakan peperiksaan yang menguji daya analisis calon untuk menyelesaikan masalah dalaman organisasi,” katanya yang akan menduduki satu lagi peperiksaan menjelang Jun nanti untuk melengkapkan program The Association of Chartered Certified Accountants (ACCA).

Berkongsi rahsia kejayaan memperolehi markah tertinggi dalam semua peperiksaan itu, Pui Mun berkata, dia akan mengulangkaji dan membuat latihan soalan tahun-tahun terdahulu.

Menurutnya, kecekalan dan iltizam yang tinggi adalah sangat penting dalam mengimbangi peperiksaan ACCA dan ijazah di UUM, justeru dia akan sentiasa menetapkan matlamat pembelajaran ACCA berdasarkan garis masa (timeline) sehingga peperiksaan tersebut.

“Ini bagi memastikan saya konsisten dalam persediaan dan tidak melengahkan waktu ulangkaji sehingga saat terakhir yang semestinya akan lebih memberi tekanan kepada diri.

“Saya berharap pencapaian ini akan memberi manfaat dan inspirasi kepada orang lain untuk terus mencapai cita-cita dan matlamat diri, malah membanggakan universiti dan TISSA-UUM,” katanya yang merupakan Pengerusi ACCA Student Ambassador UUM dan menyertai Skim ‘ACCA Accelerate Program’ sejak 2019.

Sementara itu, Naib Canselor, Prof. Dato’ Dr. Ahmad Bashawir Abdul Ghani berkata, beliau amat berbangga di atas pencapaian pelajar UUM itu yang telah meraih kejayaan cemerlang dan mengharumkan nama negara, sekali gus membuktikan bahawa program perakaunan UUM bersama ACCA itu semakin menjadi pilihan utama pelajar dari dalam dan luar negara.

Menurutnya, pencapaian itu juga secara tidak langsung membuktikan program perakaunan UUM adalah setanding dengan universiti terkemuka dunia dan selaras dengan hasrat negara menjadikan Malaysia sebagai hab pendidikan dunia yang terbaik.

Pelajar program perakaunan di TISSA-UUM menerima ‘exemption’ maksimum daripada ACCA melalui Skim ACCA Accelerate dan mereka hanya perlu menduduki baki empat peperiksaan profesional ACCA sahaja.

Pelajar di TISSA-UUM yang mengikuti Ijazah Sarjana Muda Perakaunan di UUM kampus Sintok dan Kuala Lumpur boleh menduduki program badan profesional perakaunan seiring dengan pengajian ijazah perakaunan mereka.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com