Wanita UMNO Kedah sokong Zahid, bukan masa desak letak jawatan

97
DATO’ HJH SHARIFAH MAZNAH BINTI SYED KASSIM BARAKBAH¬†

ALOR SETAR РWanita UMNO Negeri Kedah menyeru kepada ahli-ahli UMNO khasnya Wanita UMNO Negeri Kedah supaya  terus memberi sokongan dan kepercayaan penuh kepada Presiden parti.

Umno adalah salah sebuah organisasi politik yang terbesar di Malaysia, teratur dan lengkap dari akar umbi sehinggalah kepada pucuk pimpinannya. Ia memiliki sistem pengurusan yang sistematik.

Namun, tindakan beberapa pihak dari dalam UMNO sendiri yang mendesak presiden parti, YB Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi untuk meletakkan jawatan adalah tidak wajar sama sekali di kala saat parti belum benar-benar stabil setelah dipukul ombak dalam Piliharaya Umum ke 14 yang  lalu, malahan inilah waktu ahli-ahli UMNO di setiap lapisan seharusnya memperkukuhkan penyatuan dan bukannya melakukan tindakan yang boleh melemahkan parti.

Harus diingat, Presiden Parti mendapat mandat secara sah dari majoriti ahli UMNO melalui pemilihan yang mengikut lunas perlembagaan parti, maka seharusnya sebarang kritikan ketidakpuasan hati terhadap kepimpinan Presiden sebaiknya perlulah melalui saluran dalaman dan tidak akan mengkritik secara terbuka melalui media luar.

Sebarang perbezaan pandangan perlu diatasi secara bermusyawarah dan umpama air yang berkocak di dalam cawan tanpa melimpah keluar.

Ini adalah selaras juga dengan saranan Ketua Wanita UMNO Malaysia, YB Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad yang mahukan fokus utama UMNO untuk membantu rakyat serta memperkukuhkan gerak kerja dalam mencapai objektif memenangi PRU15.

Dalam keadaan negara yang kini dilanda penularan Pandemik Covid-19 serta bencana banjir, sudah pasti kebajikan rakyat perlu diutamakan.

Sebarang usaha mendesak Presiden meletakkan jawatan hanya akan  membawa kepada keadaan yang lebih rumit dan lebih malang jika ada pihak lain yang menangguk di air keruh.

Marilah kita turut sama memperkukuhkan solidariti kepada   Presiden yang bukan hanya bersifat fizikal, sebaliknya melibatkan penyatuan hati, pemikiran dan permuafakatan sesama ahli parti, serta bersama menggalas tanggungjawab mencabar memimpin Parti dalam keadaan sekarang. InsyaAllah, kita sama-sama teruskan usaha memperkasakan kekuatan UMNO agar terus relevan dalam menghadapi PRU-15 akan datang.

YBhg DATO’ HJH SHARIFAH MAZNAH BINTI SYED KASSIM BARAKBAH 
KETUA WANITA UMNO NEGERI KEDAH
27 JANUARI 2021