Ayam sejuk beku RM495,608 dari Thailand ditahan di Bukit Kayu Hitam

187
5,161 keratan ayam sejuk beku dengan anggaran berat 61,932 kilogram (kg) yang dianggarkan bernilai RM  495,608.00 cuba dibawa masuk itu tidak mematuhi syarat import.

FOTO/TEKS MAQIS

BUKIT KAYU HITAM – Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) berjaya menggagalkan cubaan membawa masuk ayam sejuk beku yang tidak mematuhi syarat import dari Thailand di Kompleks ICQS Bukit Kayu Hitam, Kedah pada Ahad lalu.

Menurut Pengarah MAQIS Negeri Kedah, Lily Rosalind Paul berkata, hasil pemeriksaan rutin yang dilakukan oleh Pegawai MAQIS mendapati sebanyak 5,161 keratan ayam sejuk beku dengan anggaran berat 61,932 kilogram (kg) yang dianggarkan bernilai RM  495,608.00 cuba dibawa masuk itu tidak mematuhi syarat import iaitu dipercayai datangnya dari pusat penyembelihan yang tidak diiktiraf dan meragukan.

MAQIS berjaya menggagalkan cubaan membawa masuk ayam sejuk beku yang tidak mematuhi syarat import dari Thailand.

Katanya lagi, kegagalan untuk mengemukakan maklumat tersebut adalah menjadi suatu kesalahan di bawah Seksyen 15(1), Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 [Akta 728] yang mana jika sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau dipenjara selama tempoh tidak melebihi 6 tahun atau keduanya sekali di bawah Seksyen 15(2) Akta yang sama.

Pihak MAQIS tidak akan leka serta memandang mudah terhadap perkara ini dan akan terus komited dalam memastikan tumbuhan, binatang, karkas, ikan, keluaran pertanian, tanih, mikroorganisma dan makanan yang diimport bebas daripada ancaman perosak, penyakit, bahan cemar dan tidak menjejaskan sektor pertanian negara serta mematuhi aspek kesihatan manusia, binatang, tumbuhan,ikan dan keselamatan makanan.